SPR tidak galakkan pelancong dan penyokong turun ke PD Ahad ini

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pelancong dan penyokong parti politik tidak digalak berkunjung ke bandar peranginan Port Dickson Ahad ini bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada hari pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul AZiz Mohd Yusof berkata jika berlaku kesesakan maka ia akan menimbulkan kesusahan kepada pengundi untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Saya berharap pemimpin parti dapat memaklumkan kepada penyokong masingmasing mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran SPR di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan persaingan antara calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohd Isa Samad dan Pesuruhjaya PAS Negeri Zulkefly Mohamad Omar.

Abdul Aziz turut mengingatkan pengundi di kawasan itu agar tidak berasa takut untuk keluar mengundi kerana polis telah memberi jaminan mengenai keselamatan pada hari berkenaan.

Mengenai dakwaan PAS bahawa ahli Pergerakan Pemuda Umno melakukan serangan ke atas markas mereka, beliau berkata setakat ini, SPR tidak menerima sebarang laporan rasmi sama ada daripada polis atau pihak lain.

"Saya hanya tahu perkara ini melalui media massa dan khidmat pesanan ringkas (SMs) daripada pembangkang.

Katanya beliau belum menerima laporan rasmi berhubung perkara itu dari SPR negeri. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan