Raja Muda Perlis: Wujudkan platun wataniah di setiap jabatan

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin hasrat memperkasakan wataniah tercapai sekiranya setiap ketua jabatan dan agensi membentuk platun wataniah di peringkat jabatan dan agensi masing-masing.

Baginda bertitah untuk mewujudkan platun di setiap jabatan dan agensi perlu mempunyai sekurang-kurangnya antara 15 dan 20 kakitangannya menyertai wataniah.

Raja Muda Perlis yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah promosi dan hebahan sedang giat dijalankan kepada jabatanjabatan awam dan swasta bagi menggalakkan penyertaan di kalangan kakitangan awam dan swasta menyertai wataniah.

Promosi juga dilakukan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kariah masjid dan ketuaketua komuniti kaum seperti Cina, India dan Siam.

Usaha itu akan tercapai sekiranya semua jabatan dan agensi memberi kerjasama dan berganding bahu dengan Rejimen 504 Askar Wataniah, titah baginda pada majlis jamuan hari raya anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem Rejimen 504 Bukit Ketri hari ini.

Apa yang dilakukan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah adalah menepati moto Tentera Darat iaitu mendokong aspirasi rakyat dan kedaulatan negara, titah baginda.

Menurut baginda, mereka yang berminat menyertai wataniah boleh menghubungi Rejimen 504 Askar Wataniah di Kem 504 Askar Wataniah, Bukit Ketri.

Menyertai wataniah bermakna mereka mempunyai jiwa patriotisme yang berhasrat untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Pada majlis itu, baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Mej (Kehormat) Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut menyampaikan sumbangan kepada 50 anak yatim. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan