Pengundi muda jadi taruhan di Bagan Pinang

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Dalam masa kurang daripada 48 jam, 13,664 pengundi di Bagan Pinang akan menentukan siapa yang bakal dipilih sebagai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), di Negeri Sembilan.

Jentera pilihan raya kedua-dua parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) dan PAS kini semakin giat mengadakan ceramah perdana dengan menurunkan para pemimpin kanan parti bagi memanfaatkan tempoh berkempen lapan hari yang mesti ditamatkan pada tengah malam esok.

Banyak pihak berpendapat bahawa pada masa ini pengundi sudahpun membuat keputusan siapa yang akan mereka pilih pada pilihan raya kecil Ahad ini namun kedua-dua belah pihak masih tidak berputus asa berusaha menambah sokongan atau mengekalkan sokongan yang diperoleh.

Salah satu daripada perkara yang mungkin menarik perhatian pemerhati politik pada pilihan raya kecil kesembilan sejak pilihan raya umum 2008 kali ini ialah bagaimana pengundi muda akan membuat keputusan mereka.

Pengundi muda yang berusia 40 tahun ke bawah mewakili kirakira 50 peratus daripada jumlah pengundi di Bagan Pinang, dikatakan menjadi taruhan akhir BN dan PAS bagi menentukan sama ada "status quo" kawasan itu kekal atau PAS membuat kejutan di kubu BN ini.

Dalam kelompok pengundi muda ini pula, mereka yang berada dalam kumpulan umur 30 hingga 39 tahun merupakan kumpulan yang paling ramai, yang mewakili kira-kira 27 peratus.

Kedua-dua parti yang bertanding nampaknya optimis bahawa pengundi muda memihak kepada mereka namun bagi pemerhati politik sentimen golongan itu masih belum jelas.

"Saya kira pengundi muda "play safe". Nampaknya BN dan PAS perlu kerja keras untuk mendapatkan undi mereka," kata pemerhati politik Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Bernama hari ini.

Keputusan pilihan raya kecil Ahad ini juga akan dapat merungkai persoalan sejauhmanakan benarnya pendapat bahawa pengundi muda merupakan kumpulan yang "anti-establishment" dan idealistik atau bersikap rasional dan realistik.

Difahamkan bahawa 55 peratus sokongan pengundi muda memihak kepada PAS pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008 di Bagan Pinang namun calon BN Azman Mohammad Noor (BN) tetap berjaya mempertahankan kerusi DUN itu setelah menewaskan Ramli Ismail (PAs) dengan majoriti 2,333 undi.

Kali ini, BN mempertaruhkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang juga anak tempatan, manakala PAS diwakili pesuruhjaya negerinya, Zulkefly Mohamad Omar, dari Lenggeng, Negeri Sembilan.

Pada pilihan raya umum lepas juga, pengundi muda khususnya pengundi India, di empat ladang; Ladang Atherthon, Ladang Bradwall, Pekan Siliau dan Sua Betong, dikatakan mengundi calon lawan BN kerana faktor emosi.

Perkara ini diakui seorang pekerja ladang di Siliau, S. Ganasegaran, 29, ketika ditemui barubaru ini yang menyatakan beliau mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lalu kerana marahkan tindakan kerajaan menahan pemimpin Hindraf.

"(Pemimpin) Hindraf sudah lepas, tak marah BN lagi" katanya ketika ditemui di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Ladang Siliau, merujuk kepada tindakan kerajaan membebaskan semua pemimpin pertubuhan haram itu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

Ladang Siliau mempunyai kira-kira 700 pengundi, antaranya isteri Ganasegaran, S. Mariamma, 25, yang akan mengundi buat kali pertama di Bagan Pinang Ahad ini.

Merahsiakan parti yang disokongnya, ibu kepada enam anak kecil itu berkata beliau akan mengundi demi masa depan anakanaknya dan bukan kerana emosi seperti suaminya.

Sepertimana pada pilihan raya sebelum ini, sentimen pengundi muda agak mencabar untuk diramal malah ia boleh berubah di saat-saat akhir, lebih-lebih lagi melalui permainan taktik kotor.

Pemerhati politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia (USM), yang turut mengakui hakikat ini berharap masyarakat akan menolak "politik tidak berhemah" yang sematamata bertujuan meraih undi simpati terutama pengundi atas pagar.

"Apakah hanya untuk mendapat sokongan, kita korbankan adat susila kita. Matlamat menghalalkan cara?" soal beliau merujuk kepada dakwaan insiden pergaduhan membabitkan penyokong kedua-dua parti itu baru-baru ini. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan