EGM Umno hanya sehari; Diadakan semasa Perhimpunan Agung minggu depan

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam sejarah penubuhan Umno, Perhimpunan Agung Khas (EGM) akan diadakan dalam Perhimpunan Agung tahunan parti itu yang akan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober ini.

EGM tersebut akan berlangsung selama sehari iaitu pada 15 Oktober dan anggota perwakilan diperuntukkan masa sehari bagi membahas dan mencapai kesepakatan berhubung cadangan pindaan perlembagaan parti itu.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, perhimpunan agung kali ini lebih pendek iaitu selama empat hari kerana Umno baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat agungnya untuk tahun 2008 pada Mac lalu.

Jelas beliau, hanya dua usul akan dibentangkan dalam perhimpunan agung kali ini, iaitu usul ucapan dasar presiden dan pindaan perlembagaan Umno.

“Selesai sahaja ucapan dasar Presiden, Perhimpunan Agung Umno 2009 akan ditangguhkan dan Perhimpunan Agung Khas Umno akan bermula dengan pembentangan cadangan pindaan oleh naib presiden parti yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Setiap wakil negeri dan wakil dari tiga sayap parti akan diberikan masa selama 15 minit untuk membahaskan ucapan presiden parti dan Perhimpunan Agung Khas itu dijangka dapat ditamatkan pada pukul 4 petang sebelum Perhimpunan Agung Umno 2009 diadakan semula,” katanya dalam taklimat kepada media menjelang Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Jumaat.

Antara perkara yang akan dibentangkan mengenai pindaan perlembagaan ialah menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan dalam parti dan menambah bilangan perwakilan yang akan diberi hak serta kuasa untuk memilih pemimpin pada masa akan datang.

Tengku Adnan berkata, pindaan terhadap perlembagaan parti akan menjadikan Umno lebih terbuka dan mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk meneruskan perjuangan parti itu.

"Langkah-langkah ini akan meremaja dan memantapkan Umno,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya sistem pemilihan yang lebih baik dan terbuka, parti itu akan menarik lebih ramai golongan muda untuk menjadikannya sebagai wadah perjuangan politik mereka.

“Bagi memastikan pemilihan parti tidak diperlekehkan, akar umbi Umno menyokong cadangan supaya beberapa syarat dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan tertinggi parti.

“Akar umbi sendiri mahukan syarat-syarat minimum dikenakan bagi mereka yang bertanding jawatan tersebut,” ujarnya.

Jelas beliau, antara syarat yang dicadangkan ialah calon yang bertanding mestilah menjadi anggota parti untuk tempoh masa tertentu dan pernah memegang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian serta faham mengenai hala tuju parti.

Ini adalah kerana akar umbi parti berpendapat jawatan presiden dan timbalan presiden parti juga akan memegang jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri negara ini, oleh itu ia tidak wajar diperkotak katikkan oleh mereka yang sengaja suka-suka masuk gelanggang, katanya.

"Presiden dan juga timbalan presiden sebenarnya tidak mahu meletakkan sebarang syarat untuk sesiapa sahaja merebut jawatan tertinggi parti, walau bagaimanapun akar umbi parti tetap mahu syarat minimum untuk melayakkan mereka bertanding,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan agung kali ini Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pihak pengurusan juga telah mengambil ketetapan untuk tidak menjemput wakil-wakil luar negara dan tidak memanggil pulang wakil-wakil Kelab Umno di luar negara kerana mereka baru sahaja pulang ketika perhimpunan agung yang lalu.

“Seramai 2,539 orang perwakilan peringkat bahagian dijangka hadir dan pihak pengurusan parti turut menjemput bekas presiden parti yang terdahulu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk hadir pada perhimpunan agung kali ini,” katanya.

Setakat ini sebanyak 37 agensi serta syarikat media yang melibatkan 876 petugas media telah mendaftar untuk membuat liputan perhimpunan itu termasuk lapan agensi media luar negara, kata Tengku Adnan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan