DUN Bagan Pinang: PAS gesa SPR hentikan pengundian pos

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Setelah usaha untuk menangguhkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang gagal, PAS hari ini menggesa supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan proses pengundian pos bagi mengelakkan keseluruhan pilihan tersebut terbatal.

PAS mendakwa SPR telah melanggari Peraturan 14A Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) Peraturan 1981, apabila menggunakan daftar pemilih yang berbeza di antara daftar pemilih yang diberikan kepada calon pada hari penamaan dan daftar pemilih yang digunakan di hari pembuangan undi pos.

"Semasa pengundian pos semalam, kita dapati SPR tidak menggunakan daftar pemilih yang sama semasa proses penamaan calon.

"Tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan 14A Pilihanraya dan kegagalan untuk mengikuti peraturan ini akan menyebabkan pilihan raya kecil N31 Bagan Pinang terbatal," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun Salahuddin berkata proses pengundian awam pada Ahad ini boleh diteruskan seperti yang dijadualkan.

"SPR sebagai pelaksana pilihan raya wajib menghentikan semua proses yang terdapat dalam pengundian pos dengan segera dan meneruskan pengundian awam pada 11 haribulan ini seperti yang telah dijadualkan.

"Jika proses undian pos ini tidak dihentikan, maka keseluruhan pilihan raya kecil Bagan Pinang boleh terbatal dan menyebabkan pembaziran wang rakyat," katanya.

Proses pengundian pos melibatkan anggota keselamatan iaitu tentera dan polis telah bermula semalam.

Anggota tentera mengundi di Dewan Jeneral Tan Sri Sani, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kem Si Rusa manakala anggota polis mengundi di Ibu Pejabat Polis Port Dickson.

Sehingga semalam seramai 1,275 daripada kira-kira 2,000 pengundi tentera yang tinggal di dalam kem telah keluar mengundi manakala pengundi pos di kalangan anggota polis, seramai 27 daripada 31 pengundi berdaftar sudah mengundi pada hari pertama.

Terdapat sejumlah 4,604 pengundi pos di kawasan DUN Bagan Pinang. Daripada jumlah itu 4,571 terdiri daripada anggota tentera, 31 anggota polis manakala dua pengundi pos dikategorikan sebagai pemilik tak hadir kerana bertugas di luar negara.

Mereka merupakan sebahagian daripada 13,664 pengundi dalam DUN Bagan Pinang, yang turut membabitkan 9,060 pengundi biasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan