Terpulang kepada ibubapa benar anak diberi suntikan cegah kanser

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ibubapa diberi pilihan sama ada membenarkan atau tidak anak perempuan mereka diberi suntikan pelalian cegah kanser pangkal rahim yang akan dimulakan tahun depan untuk pelajar menengah berusia 13 tahun.

Mereka yang bersetuju perlu menandatangani surat kebenaran terlebih dahulu, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Pelaksanaan program pelalian dikenali "human papillomavirus" (HPV) itu diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini.

Langkah itu bagi menangani kanser pangkal rahim yang merupakan kanser kedua tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia selepas kanser payu dara, dengan 1,500 kes baru dikesan setiap tahun.

"Kita masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan berkaitan pelaksanaan suntikan itu," kata Alimuddin.

Katanya Kementerian Pelajaran belum menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak mengenai cadangan Kementerian Kesihatan itu. "Maklumat balas yang kita terima, kebanyakan Persatuan Ibubapa dan Guru bersetuju," katanya.

Penasihat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Datuk Zuraidah Atan menyokong program itu kerana ia adalah kaedah mencegah kanser pangkal rahim pada masa akan datang.

"Bagi NCSM, kami menyokong penuh tindakan Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan program pelalian itu seawal usia 13 tahun, khususnya kepada pelajar luar bandar," katanya.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, juga berkata pemberian suntikan pelalian itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan ibubapa.

Katanya keputusan untuk memperkenalkan program itu untuk remaja berusia 13 tahun dibuat kerana kelompok usia itu mempunyai tahap ketahanan terhadap imunisasi yang lebih baik daripada usia yang meningkat.

Dr Hasan berkata Kementerian Kesihatan mendapati Program Saringan Pap Smear yang diperkenalkan pada 1969 untuk membantu mengesan kanser lebih awal tidak mendapat sambutan memuaskan.

Katanya satu kajian menunjukkan bahawa pencegahan daripada kanser pangkal rahim melalui pelalian menguntungkan daripada segi kos.

Menurut beliau, adalah dianggarkan kos untuk tiga dos bagi pelalian itu adalah RM400 berbanding dengan RM235,000 bagi pembiayaan kos rawatan seumur hidup jika menghidapi kanser pangkal rahim.

"Ini bermakna, kita memerlukan RM360 juta untuk merawat 1,500 kes baru kanser pangkal rahim setiap tahun," kata Dr Hasan.

Katanya impak daripada pelalian HPV hanya akan kelihatan dalam jangka masa panjang antara 15 dan 20 tahun kerana faedah daripada pelalian itu akan mengurangkan sebarang kesan sampingan serta turut dapat mengelak kematian dalam lingkungan usia produktif.

Mengenai kematian seorang remaja perempuan di Britain selepas menerima pelalian itu, Dr Hasan berkata tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan kematian itu dengan suntikan berkenaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan