Polis tubuh pasukan khas pantau kemungkinan aktiviti samseng pada EGM MCA

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengenalpasti mana-mana kumpulan samseng yang mungkin aktif pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran mesyuarat itu selain mengelakkan wujudnya perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kita sudah ada pasukan petugas untuk kenalpasti samseng dan aktiviti mereka sepanjang EGM MCA nanti.

"Dulu masa (mesyuarat) MIC pun ada namun tiada tangkapan dibuat, tapi kita tetap akan pantau. Jangan salah guna tempat berkenaan untuk judi, samseng dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

EGM itu diadakan berikutan pemecatan bekas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek oleh Majlis Presiden pada 26 Ogos lalu kerana didapati mencemarkan imej parti ekoran skandal video seksnya. Bagaimanapun, majlis pusat parti telah menukar keputusan tersebut dengan penggantungan selama empat tahun.

Sebelum ini, MCA telah menyuarakan kebimbangan parti itu kerana penjudi haram (bookie) dilaporkan menganjurkan pertaruhan mengenai keputusan EGM itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat telah memberi kata dua bahawa beliau akan melepaskan jawatannya sebagai pemimpin parti sekiranya EGM tersebut membuat sebarang keputusan yang memihak kepada timbalannya itu.

EGM tersebut bakal menentukan sama ada Ong Tee Keat atau Chua Soi Lek yang bakal menerajui MCA.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan