PAS tak berganjak mahu dapatkan perintah injunksi tangguh pilihan raya Bagan Pinang

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Tinggal dua hari sahaja lagi sebelum hari pengundian, PAS masih tidak berganjak dengan hasrat untuk memohon injunksi bagi menangguhkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan yang akan dibuat oleh penasihat undang-undang parti berhubung perkara tersebut.

"Kita telah memikirkan mengenai perkara ini dan kita telah serahkan kepada panel guaman kita untuk membuat dalam masa terdekat.

"Kita tidak akan berputus asa sampai ke garisan terakhir dalam perjuangan ini... kita dah buat kata putus hanya tunggu peguam," katanya dalam sidang media di Markes Induk PAS di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil pertemuan antara wakil PAS dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan wujudnya pertindihan nama pengundi dalam daftar pemilih yang dikeluarkan suruhanjaya berkenaan bagi DUN Bagan Pinang.

Semalam Salahuddin juga berkata PAS tidak menolak kemungkinan akan memohon injunksi bagi menangguhkan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Ia berikutan dakwaan PAS bahawa mereka mempunyai bukti yang kukuh bagi mendedahkan mengenai kewujudan pertindihan nama dalam daftar pemilih SPR di DUN berkenaan.

Pertindihan yang dimaksudkan itu ialah terdapat pengundi yang mendaftar dua kali di DUN Bagan Pinang iaitu satu menggunakan kad pengenalan tentera dan satu lagi didaftarkan menggunakan kad pengenalan awam.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam reaksi balas mengesahkan bahawa tidak wujud pertindihan nama dalam senarai daftar pemilih di DUN Bagan Pinang.

Wan Ahmad berkata hasil semakan yang dibuat SPR hari ini mendapati tidak wujud penggandaan nama di kawasan itu seperti mana yang didakwa PAS.

Dalam sidang media yang sama, Salahuddin turut mendedahkan nama-nama 253 pengundi yang mereka dakwa telah didaftarkan di dua kawasan menggunakan kad pengenalan tentera dan kad pengenalan awam.

Katanya lagi SPR juga berjanji akan memotong nama-nama berkenaan dalam senarai daftar pemilih.

"Mereka akan buat pemutihan, itu janji mereka, tapi kami kecewa kerana ia tidak dilakukan dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Ditanya sama ada PAS mempunyai masa yang cukup jika mereka memutuskan untuk memohon injunksi bagi menangguhkan pilihan raya ini kerana ia akan diadakan dua hari lagi manakala undi pos telahpun bermula hari ini, Salahuddin berkata perkara itu tidak menjadi masalah kepada PAS.

"Tak mengapa, yang penting kita ikut saluran undang-undang serta mesej kita sampai kepada masyarakat," katanya.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan