Dr.Asri: Isytihar segera kelulusan permohonan fasakh isteri

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Syariah hendaklah mengisytiharkan segera kelulusan permohonan fasakh isteri, kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut Asri, perkara itu perlu dilakukan kerana wanita itu mungkin berada di dalam keadaan yang amat bahaya.

"Sepatutnya dari awal ketika beliau mengadu, mereka (suami isteri) hendaklah dipisahkan. Bahkan saya mencadangkan agar pihak Mahkamah Syariah mengisytiharkan secara terbuka kelulusan itu.

"Ini kerana imej Mahkamah Syariah yang sering dikaitkan dengan ‘tidak mesra wanita’ dengan isu-isu yang menindas mereka seperti penangguhan kes talak, tidak segera menyelesaikan kes fasakh sehingga masa depan wanita tidak menentu dan berbagai lagi.

"Tindakan mengisytiharkan kelulusan pemisahan rumahtangga mereka itu boleh menjadi tanda adanya kesungguhan membela wanita," kata Asri.

Asri berkata demikian ketika mengulas mengenai kes isteri yang menuntut fasakh selepas cedera parah ditetak suaminya, baru-baru ini.

Dalam kejadian Selasa lalu di Kuantan, Pahang, seorang isteri berusia 24 tahun menuntut fasakh selepas cedera parah ditetak suaminya dengan sebilah parang panjang.

Mangsa yang merupakan seorang kerani dipercayai bertengkar dengan suaminya yang berusia 33 tahun mengenai tuntutan fasakh di hadapan pejabat wanita berkenaan.

Lelaki itu menerkam serta memaksa isterinya masuk ke dalam keretanya sebelum berlaku pergelutan. Dia kemudiannya mengeluarkan sebilah parang panjang dari dalam keretanya lalu bertindak ganas dengan menetak isterinya di bahagian belakang badan.

Ekoran kejadian itu, wanita tersebut mengalami cedera parah di belakang badan dan pinggangnya sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

Wanita tersebut juga pernah membuat laporan polis pada 30 September lepas selepas suaminya mengugut untuk membunuhnya berhubung perkara sama.

Berikutan kes seperti itu, kata Asri, wanita Islam perlu mengetahui bahawa mereka boleh memohon cerai apabila berasa terancam atau tidak lagi bahagia dengan suami mereka.

"Ungkapan sesetengah ustaz atau penceramah “Talak menggegar Arsy Tuhan” adalah ungkapan daripada hadis palsu yang tidak wajar disandarkan kepada Islam yang adil ini. Talak ialah jalan keluar terakhir kepada masalah rumah tangga.

"Perkahwinan bukanlah penjara kejam untuk wanita, sebaliknya ia adalah mahligai kebahagiaan. Jika ia menjadi neraka dunia, maka seseorang wanita hendaklah mengeluarkan diri darinya.

"Wanita muslimah hendaklah tahu, bahawa dalam Islam ada pelbagai peruntukan untuk mereka melepaskan diri daripada perkahwinan, antaranya khuluk atau dipanggil oleh sesetengah orang sebagai ‘tebus talak’," katanya.

"Di dalam hadis, isteri Thabit bin Qais datang mengadu kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan berkata: "Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam.

"Maka RasululLah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: "Ya". Lalu RasululLah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia" (Riwayat al-Bukhari). Maksud ‘membenci kekufuran dalam Islam’ dalam hadis ini adalah penderhakaan tersuami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman.

"Ada juga para ulama yang menafsir maksudnya terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Seorang tokoh fekah terkenal Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) berkata: “Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu' (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya," ujar Asri.

Tambahnya lagi, ketidakadilan yang berlaku kepada wanita Islam dalam mana-mana zaman atau masyarakat tiada kaitan dengan ajaran Islam yang asal, tetapi lebih merujuk kepada adat, salah faham agama, kelemahan pengurusan syariah dan penyebaran ajaran Islam secara tidak tepat oleh sesetengah pihak termasuk sesetengah penceramah agama. "Wanita jangan ragui keadilan Islam, rujuklah Islam yang asal lagi tulen yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah," katanya.

Asri juga turut menasihati kaum wanita agar lebih teliti dan berhati-hati dalam memilih pasangan hidup bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini.

"Mendapat suami yang kurang ‘hensem’, kurang harta, kurang nama tetapi baik, atau menjadi isteri kedua kepada suami yang bertanggungjawab adalah lebih baik dan bahagia daripada mendapat suami yang samseng atau menjadi isteri kepada lelaki samseng yang kejam dan zalim," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan