BN ada peluang cerah, pembangkang menggelabah

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Setelah lima hari berkempen, Barisan Nasional (BN) kelihatan mempunyai peluang cerah untuk kekal berkuasa di kubu kuatnya pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Tanda-tanda menunjukkan pakatan pembangkang menghadapi masalah untuk meraih sokongan pengundi, walaupun telah mengamalkan pelbagai pendekatan dan strategi.

Di samping itu, mereka juga terpaksa berhempas pulas untuk membalas hujah yang ditimbulkan oleh BN tentang pelbagai isu.

Strategi BN memberi tumpuan terhadap isu berkaitan pembangunan setempat dan meletakkan calon yang cukup berpengalaman serta disukai ramai Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga anak tempatan, kelihatan berjaya menenggelamkan beberapa isu nasional yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Pakatan pembangkang, khususnya PAS, lebih banyak memberi tumpuan terhadap isu tempatan bagi meraih sokongan pengundi di Bagan Pinang suatu tindakan yang dianggap menyimpang daripada amalan mereka selama ini yang gemar memberi fokus terhadap isu nasional semasa kempen pilihan raya.

Sebagai contoh, mereka menimbulkan isu projek terbengkalai berhampiran pantai, sistem pembetungan tidak cekap yang mencemarkan laut dan kesesakan lalu lintas, walaupun sumber dalaman parti itu sendiri raguragu langkah itu boleh meraih sokongan pengundi.

Bagaimanapun, pengarah pilihan raya kecil Bagan Pinang PAS Salahuddin Ayub berkata mereka tetap memainkan isu nasional dan pada waktu yang sama, memberi fokus terhadap isu tempatan apabila BN menampilkan Isa sebagai calon yang mampu berkhidmat kepada pengundi di kawasan itu kerana pernah menjadi menteri besar.

"Kami perlu mengenengahkan isu setempat di sini bagi menunjukkan kegagalan beliau," katanya.

Sama ada ia sekadar satu strategi atau kerana faktor lain, beberapa anggota parti pembangkang secara diamdiam mendedahkan bahawa pada umumnya, sambutan terhadap kempen mereka tidak menggalakkan, termasuk di kawasan bukan Melayu.

"Sambutan yang diberi kepada kami di sesetengah kawasan masih dingin. Logistik memang teruk. Buat masa ini, kami percaya majoriti undi bukan Melayu masih bersama kami. Kami yakin dengan pengundi India, tapi tidak begitu pasti tentang pengundi Cina," kata seorang pemimpin DAP.

Pemimpin DAP yang enggan dikenali itu berkata semasa berkempen dari rumah ke rumah, kebanyakan pengundi masih bersikap dingin terhadap mereka.

"Saya rasa, penduduk tempatan, khususnya orang Cina, lebih suka menyembunyikan pendirian masing-masing. Mereka tak mahu dilihat mengikuti ceramah kami. Inilah sebabnya tidak ramai yang menghadiri ceramah kami," katanya.

Berdasarkan senario ini, pembangkang tidak pasti mereka mampu mencapai sasaran mendapat 75 peratus sokongan pengundi bukan Melayu, daripada 65 peratus sebelum ini.

"Tak banyak yang dapat dilakukan dalam perang ini kerana tak ada isu kuat untuk kami beri fokus. Tak ada benda buruk untuk dijadikan modal. Permatang Pasir mudah kerana BN telah membunuh diri. Di sini, keadaannya berlainan," kata beliau.

Seorang pemimpin Gerakan yang begitu giat berkempen di kawasan majoriti kaum India berkata ada tanda-tanda positif bahawa pengundi India cenderung untuk memihak kepada BN memandangkan sambutan yang mereka terima semasa berkempen dari rumah ke rumah tidak lagi seburuk semasa mereka berkempen pada pilihan raya umum tahun lepas.

"Daripada segi sokongan, Umno sudah pasti akan mendapat antara 4,500 dan 5,000 undi Melayu, manakala penyokong tegar PAS berjumlah sekitar 1,500 orang. Pada pilihan raya umum lepas, PAS mendapat 4,500 undi daripada bukan Melayu.

"Tapi, pada pilihan raya kecil ini, kami meramalkan akan belaku beberapa perubahan. Keadaan akan bertambah baik daripada segi undi bukan Melayu, walaupun kami menjangka jumlahnya adalah kecil," kata beliau sambil menambah bahawa kempen yang dijalankan bertumpu pada kumpulan kecil pengundi.

Sejajar dengan itu, pada hari-hari berikutnya, BN akan berusaha keras untuk mewujudkan perubahan dalam kalangan pengundi bukan Melayu melalui pesta kuih bulan yang akan diadakan malam esok dan jamuan makan secara besar-besaran pada malam berikutnya.

"Majlis berkenaan akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri. Dulu, hanya 42 peratus pengundi Cina di sini menyokong BN. Bagaimanapun, kali ini, kami menyasarkan jumlahnya mencapai 50 peratus," kata pengerusi MCA Bahagian Teluk Kemang Yit Lee Kok.

Kebanyakan pengundi Cina tinggal di Teluk Kemang, manakala selebihnya di Betong, Si Rusa, Pekan Silliau, Taman Eastern dan Ladang Atherton.

Pekerja pilihan raya BN mendakwa satu lagi tanda bahawa PAS menghadapi masalah untuk meraih sokongan lebih ramai pengundi ialah apabila mereka terpaksa mengamalkan taktik lama dengan mendakwa senarai daftar pemilih tidak bersih, sebagai alasan untuk menutup malu jika mereka mencapai keputusan teruk pada pilihan raya kecil ini.

PAS juga dilaporkan berkata ia mungkin memohon mendapatkan perintah mahkamah bagi menangguhkan pilihan raya kecil Bagan Pinang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menyelesaikan isu berkaitan dakwaan parti itu bahawa ada perkara yang tidak kena dengan senarai daftar pemilih.

Parti itu mendakwa ada pemilih yang nama mereka didaftarkan di dua kawasan satu yang menggunakan kad pengenalan tentera dan satu lagi menggunakan MyKad. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan