Ancaman kumpulan Bendera tidak babitkan tentera

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ancaman satu kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'Benteng Demokrasi Rakyat' (Bendera) yang dikatakan bertekad akan menyerang Malaysia hari ini tidak melibatkan permasalahan berkaitan ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata rakyat Malaysia diharap tidak panik atau membuat sebarang andaian negatif berhubung khabar angin berkaitan gerakan itu yang dianggotai oleh sekumpulan kecil yang diupah oleh pihak tertentu.

"Khabar angin kononnya satu kumpulan yang menggelar diri mereka 'Benteng Demokrasi Rakyat' (Bendera) sedang berkumpul di Kalimantan, Indonesia hanya melibatkan segelintir kumpulan kecil yang bukan tentera.

"Rakyat tidak harus memberi reaksi negatif kerana kumpulan itu adalah orang upahan dari pihak ketiga yang ingin melihat konflik antara dua negara serumpun itu berterusan," katanya ketika merasmikan majlis Penganugerahan dan Konvokesyen Pertubuhan Seni Silat Kilat Kebangsaan (PSSGKK) di sini, malam semalam.

Ahmad Zahid berkata hubungan antara Indonesia dan Malaysia seharusnya terus ditingkatkan dengan konflik ditangani secara rasional termasuk dalam semangat satu rumpun.

Beliau menegaskan walaupun ada kepincangan dalam hubungan dua hala kedua-dua negara, namun Malaysia tetap mengamalkan sikap terbuka dengan menghantar pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.

"Ini menunjukkan apabila negara serumpun mengalami permasalahan, Malaysia tidak akan berdiam diri tanpa menghulurkan sebarang bantuan. Malaysia merupakan antara negara pertama yang menghantar pasukan perubatan dan sukarelawan ke Padang ekoran gempa bumi kuat Rabu lepas," katanya.

Beberapa media Indonesia sebelum ini melaporkan kononnya kumpulan Bendera itu pernah cuba melakukan 'sweeping' atau mencari rakyat Malaysia di Jakarta untuk dihantar pulang baru-baru ini, akan mengirim 1,500 orang bersenjata buluh runcing untuk menyerang Malaysia hari ini.

Kumpulan yang tidak berdaftar di Indonesia itu kononnya mahu menyerang Malaysia ekoran beberapa isu berkaitan kedua-dua negara termasuk isu tarian Pendet dari Bali yang didakwa oleh mereka dicuri Malaysia.

Seramai 50 orang menerima Anugerah Kebesaran serta Selendang Gelaran Keraton Nusantara PSSGKK bagi tahun ini yang disempurnakan oleh Yang Dipertuanya Prof Dr Johari Mansor. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan