Tak perlu tangguh pilihan raya kecil - SPR

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK PORT DICKSON: PAS tidak perlu menjadikan alasan seperti yang mereka dakwa wujudnya pertindihan nama pengundi dalam daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata untuk menangguhkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, oleh kerana PAS mendakwa mereka ada bukti maka SPR akan menyiasat sama ada pertindihan yang dimaksudkan itu berlaku di DUN Bagan Pinang.

"Kalau mereka ada bukti kita akan semak petang ini juga sama ada kad pengenalan itu dipunyai oleh orang yang sama.

"Tapi dalam kes ini, yang penting bagi SPR ialah untuk pastikan dalam saat-saat akhir ini ialah adakah yang berganda itu dalam N31 Bagan Pinang?," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau lagi, pada peringkat ini SPR akan pastikan tidak ada mana-mana individu yang berdaftar sebagai pemilih akan mengundi sebanyak dua kali di DUN Bagan Pinang.

"Kalau pun betul wujud nama berganda iaitu satu menggunakan kad pengenalan tentera dan berdaftar di Bagan Pinang serta satu lagi menggunakan kad pengenalan awam dan mendaftar di kampungnya di Kelantan atau Terengganu... apa yang nak kita risaukan sebab di Terengganu tak ada pilihan raya.

"Yang akan mengundi hanya di Bagan Pinang sahaja sebab ini bukan pilihan raya umum di mana di seluruh negara mengundi," katanya.

Oleh itu menurut Wan Ahmad, PAS tidak perlu terburu-buru untuk memohon injunksi bagi menangguhkan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kata dua yang diberikan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bahawa parti itu tidak menolak kemungkinan akan memohon injunksi bagi menangguhkan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Kata dua yang diberikan itu berikutan dakwaan mereka bahawa PAS mempunyai bukti yang kukuh bagi mendedahkan mengenai kewujudan pertindihan nama dalam daftar pemilih SPR di DUN berkenaan.

Pertindihan yang dimaksudkan itu ialah terdapat pengundi yang mendaftar dua kali di DUN Bagan Pinang iaitu satu menggunakan kad pengenalan tentera dan satu lagi didaftarkan menggunakan kad pengenalan awam.

Menjelas lanjut mengenai perkara ini, Wan Ahmad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan menyemak dakwaan tersebut apabila menerima bukti-bukti yang akan dikemukakan itu nanti.

"saya beri jaminan semakan tersebut akan boleh dibuat segera dan kita boleh tahu keputusannya petang ini juga," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertindihan nama pengundi yang berdaftar menggunakan dua kad pengenalan iaitu tentera dan awam, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya perkara tersebut.

"Setiap rakyat di negara ini termasuk tentera ada kad pengenalan awam kerana sebelum dia jadi tentera pastinya dia ada kad pengenalan awam.

"Rekod yang kita terima daripada Kementerian Pertahanan memang ada dua kad pengenalan iaitu satu kad pengenalan tentera dan satu kad pengenalan awam... namun kita akan pastikan mengenai kesahihannya dahulu.

Tegas beliau lagi, jika benar dakwaan berlakunya pertindihan nama yang didaftarkan di dua kawasan menggunakan dua kad pengenalan, pihaknya akan mengambil tindakan susulan dengan membersihkannya daripada senarai daftar pemilih.

"Jangan risau, lepas pilihan raya ini kita akan semak semula kita akan potong terus nama pengundi tersebut.

"Misalnya seseorang anggota tentera itu masih aktif, kita akan potong namanya dalam senarai daftar pemilih awam...itu senang sahaja," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan