Pas sedia kaji Pakatan Rakyat didaftar: Nik Aziz

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu sedia mengkaji cadangan supaya parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat didaftar sebagai satu gabungan yang sah seperti Barisan Nasional.

"Itu masalah teknikal dan boleh dilakukan jika keadaan dan undang-undang memerlukan kita berbuat demikian," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini ketika diminta mengulas cadangan berkenaan yang dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagi membolehkan parti-parti pembangkang berkempen sebagai satu pakatan.

Nik Aziz berkata Pas berpengalaman dalam gabungan parti-parti pembangkang lain sebelum ini dan soal ada antara gabungan Pakatan Rakyat dikatakan tidak sefahaman boleh dibincangkan semula.

"Jadi, tidak timbul soal Pas tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana mempunyai dasar parti yang berlainan. Sekarang pun dah berkempen bersama, kita boleh buat itu, terserah pada kepimpinan pusat," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan