Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti akan dipisahkan - Khaled

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memisahkan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam usaha penjenamaan semula dan mentransformasikan kedua-dua institusi berkenaan.

Cadangan tersebut diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan perasmian Dialog Industri Kebangsaan 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.

Menurut Khaled, kementeriannya akan membentangkan kertas Kabinet kepada jemaah menteri untuk maklum balas dan tindakan dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut.

“Salah satu langkah untuk maju kehadapan adalah dengan memisahkan pengurusan politeknik dan kolej komuniti kepada dua jabatan yang berbeza. Masing-masing akan dikenali sebagai Jabatan Politeknik dan Jabatan Kolej Komuniti.

“Struktur pentadbiran yang baru ini akan meningkatkan prestasi kedua-dua sektor terbabit,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, pemisahan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti tersebut mampu melahirkan modal insan dan meningkatkan ekonomi yang berasaskan kepada inovasi dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Sebagai latar belakang, JPPKK telah ditubuhkan pada 1 Januari 2005.

Jabatan ini bertanggungjawab ke atas 61 buah institusi yang terdiri daripada 24 buah politeknik dan 37 buah kolej komuniti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Jabatan ini terdiri daripada dua sektor utama dan tujuh Bahagian.

Sektor utama ini terdiri daripada Sektor Pengurusan Politeknik dan Sektor Pengurusan Kolej Komuniti serta Pusat Penyelidikan & Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti.

JPPKK diwujudkan untuk menjadi peneraju dalam pendidikan dan latihan di peringkat separa profesional yang berkualiti dan bertaraf dunia serta pemangkin pembelajaran sepanjang hayat yang berkesan bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan negara.

Jabatan ini juga komited untuk memartabatkan pendidikan dan latihan politeknik dan kolej komuniti bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan melalui:

i) pengurusan yang stategik

ii) kurikulum yang relevan dan dinamik

iii) program latihan dan kerjaya yang efektif iv) penjaminan kualiti yang berterusan

v) khidmat sokongan yang mantap

vi) berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu Khaled juga berkata, KPT akan mewujudkan ‘sistem rating’di semua politeknik di negara ini untuk melihat kekuatan dan peranannya dalam melaksanakan proses transformasi kepada institusi tersebut.

“Ia merupakan satu usaha untuk meningkatkan taraf politeknik supaya mereka turut terlibat dalam soal pembangunan dan penyelidikan (R&D),” katanya.

Jelas beliau, perkara ini bagi menunjukkan kepada pelajar bahawa politeknik adalah satu aliran dan pilihan yang kukuh serta mempunyai kekuatan yang tersendiri selain daripada bidang akademik.

“Kita boleh lihat, pelajar selepas mereka tamat pengajian diploma mereka perlu masuk ke universiti untuk menyambung pengajian.

“Sudah tiba masanya untuk kita memikirkan satu sistem yang lengkap dalam pendidikan politeknik kepada para pelajar,” jelas beliau.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kaedah yang sedang dirangka oleh kementeriannya.

Kata Khaled, beliau akan membentangkan perkara tersebut kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada semua pihak.

Pada ketika ini kira-kira 40 peratus daripada 85,000 pelajar sedang menuntut di politeknik di seluruh negara adalah di peringkat sijil.

“Dalam usaha transformasi politeknik kita akan cuba mengurangkan program pengajian di peringkat sijil supaya kita dapat meningkatkan tempat bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian di peringkat diploma dan diploma lanjutan.

“Kita merasakan sudah tiba masanya politeknik diangkat sebagai sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pengajian yang khusus dalam bidang kemahiran teknikal bagi memenuhi kehendak pasaran kerja. “Bagi pengajian berbentuk sijil dan kemahiran asas, saya lihat adalah lebih baik jika ianya diserahkan kepada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan Institut Kemahiran Mara (IKM),” katanya.

Mengenai penjenamaan semula Kolej Komuniti pula, Khaled berkata KPT akan memberi tumpuan kepada golongan belia yang tercicir daripada sistem pendidikan negara supaya mereka turut terlibat dalam industri kreatif.

“Dengan adanya pengurusan kolej komuniti yang kukuh kita dapat bangunkan potensi yang ada di kalangan anak-anak muda ini supaya mereka terlibat dalam bidang kreatif dan inovasi.

“Daripada mereka menjadi ‘Mat Rempit’, saya percaya ini merupakan satu peluang yang baik untuk mereka,” katanya.

Menurut beliau lagi, terdapat kira-kira 100,000 pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan negara pada setiap tahun.

“Dengan mereka mengikut kursus pendek selama dua atau tiga bulan mereka kemudiannya boleh membuka syarikat sendiri atau menyambung pengajian di peringkat diploma dan sebagainya...ini semua terpulang kepada mereka. Tapi kita (KPT) memberi peluang untuk mereka (golongan yang tercicir) ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah langkah penjenamaan semula dan transdformasi kedua-dua institusi tersebut akan merombak struktur sistem pendidikan sedia ada, Khaled berkata: “Ini satu perkembangan yang tidak dapat dielakkan. Bidang akademik perlu melihat ke hadapan dan kita perlu bersiap sedia untuk memenuhi kehendak pasaran kerja pada ketika ini.”

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan