Najib pelawa masyarakat kreatif dunia sertai program MSC

Diterbitkan: Selasa, 6 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CANNES: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempelawa penyedia bahan kreatif menyertai program dikenali "Malaysian Multimedia Creative Content Centre" atau MAC3 anjuran Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC).

Perdana Menteri memberitahu peserta MIPCOM 2009, iaitu pameran perdagangan antarabangsa terbesar mengenai kandungan bahan audio visual di sini yang turut disertai Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDec), bahawa MSC mampu membiayai, membangunkan dan menghasilkan hampir 100 projek kreatif untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, yang akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan.

"Seeloknya kita mahu ia menjadi satu usaha bersepadu, melibatkan juga kawan-kawan dan rakan kongsi daripada kalangan komuniti penyedia bahan kandungan dari seluruh dunia," katanya pada Isnin di Cannes, bandar yang terkenal dengan Festival Filem Cannes yang diadakan setiap tahun.

Najib berkata program MAC3 mempunyai dana bagi membiayai penerbitan program animasi secara bersama, permainan video dan pembangunan kesan visual.

Malaysia juga telah membangunkan pusat penerbitan dan pasca penerbitan yang utama di Cyberjaya selain menubuhkan tabung eKandungan.

Najib berkata kesungguhan Malaysia untuk menjadi antara peneraju industri hiburan media adalah sejajar dengan permintaan tinggi dalam pasaran multimedia kreatif, dan dalam soal ini, MDec memberi tumpuan ke arah menyertai program yang sesuai di peringkat antarabangsa.

Industri hiburan melibatkan animasi, permainan video dan kesan visual hasil janaan komputer, kini bernilai US$1.5 trilion.

"Kita yakin kita mampu menjadi penyumbang besar dan bermakna dengan menyediakan kandungan berimpak besar kepada dunia," kata Perdana Menteri.

Industri kandungan multimedia kreatif MSC Malaysia kini melibatkan 200 syarikat, kebanyakannya dalam bidang pasca penerbitan, animasi, pembangunan permainan video, e-pembelajaran dan kandungan interaktif, dan menjana pendapatan tahunan melebihi US$200 juta.

Pada pameran di sini, Malaysia memperkenalkan penerbitan animasinya bertajuk "Saladin", hasil keluaran MSC Malaysia bersama saluran kanak-kanak Al Jazeera dari Qatar, yang menceritakan mengenai pemimpin legenda Arab itu.

Menurut Najib, penerbitan itu dan yang lain sepertinya, akan memenuhi kehendak pasaran Islam yang mempunyai lebih satu setengah bilion penonton.

Satu lagi filem Malaysia, "Upin and Ipin" keluaran syarikat Les Copaque yang meraih pendapatan RM6 juta dalam tempoh dua bulan dari pelancarannya, dijangka ditayangkan di Indonesia.

Sebagai tambahan, Malaysia mewujudkan akademi khusus bagi kandungan digital seperti Universiti Multimedia, The OneAcademy dan Limkokwing University of Creative Technology, yang mengeluarkan lebih 4,000 siswazah yang mahir dalam pengimejan janaan komputer, grafik bergerak, kesan visual, simulasi dalam 2D dan 3D, digital workflow, dan kesan audio.

Kemudahan dan program ini berjaya menarik beberapa syarikat digital bertaraf dunia untuk menempatkan operasi mereka dalam MSC di Malaysia, katanya.

Mengambil contoh CodeMasters Studios, Perdana Menteri berkata pemaju permainan komputer dan video dengan kirakira 100 artis itu telah memenangi anugerah Permainan Video Akademi British bagi kategori sukan pada 2009 untuk permainan RaceDriver:GRID yang dilaksanakan dengan pinjaman RM44 juta daripada dana Malaysian Debt Venture (MDV) Berhad dan berjaya menjual lebih 1.3 juta unit.

Najib berkata kejayaan itu diteruskan dengan satu lagi pusingan pembiayaan berjumlah RM34 juta daripada MDV kepada CodeMasters Studios di Malaysia untuk membangunkan permainan generasi berikutnya, Colin McRae: Dirt 2.

Perdana Menteri akan kembali ke Paris lewat tengah hari Isnin bagi menghadiri pertemuan dengan Kumpulan Persahabatan Malaysia-Perancis di bangunan Parlimen. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan