Najib: 1Malaysia boleh dikembangkan kepada 1Rantau dan akhirnya 1Dunia

Diterbitkan: Selasa, 6 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PARIS: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru masyarakat antarabangsa untuk samasama menangani tiga cabaran utama memastikan keamanan yang berkekalan, adil dan saksama, mewujudkan rangka kewangan global yang baru dan menguruskan perubahan iklim walaupun ianya bukan satu tugas mudah.

"Hari ini ketika kita berdepan dengan jurang yang semakin mendalam antara budaya dan agama, ancaman berlaku kemelesetan global, dan tragedi menyayat hati akibat daripada perubahan iklim, pilihan yang kita ada bukannya bersifat unilateral atau bersendirian.

"Langkah ke hadapan adalah dalam bentuk kerjasama global yang lebih imaginatif dan bersepakat," katanya ketika berucap pada persidangan am Unesco di sini hari ini. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama berucap pada persidangan itu.

Mengenai cabaran pertama iaitu memastikan keamanan yang berkekalan, adil dan saksama, Najib berkata keamanan itu hendaklah diasaskan kepada kesanggupan yang dipersetujui dan bukannya berdasarkan sesuatu yang dipaksa.

Keamanan ini, katanya, hanya dapat dicapai jika semua pihak sanggup berbincang secara membina.

Oleh itu, katanya, Malaysia sedia memainkan peranan bagi membolehkan dialog antara budaya ini diadakan.

"Kedudukan dan sejarah Malaysia meletakkannya dalam kedudukan yang strategik sebagai jambatan bagi menghubungkan kesemua budaya terbesar dunia. Ini bukannya satu tawaran berasaskan kepentingan tertentu tetapi satu tawaran untuk kepentingan bersama," kata Najib.

Katanya falsafah 1Malaysia dan saranan beliau kepada rakyat Malaysia mengenai 1Impian 1Rakyat 1Negara adalah formula tepat bukan saja bagi keharmonian negara tetapi juga sesuai ke arah mengukuhkan keamanan serantau dan global.

Oleh itu, kata Perdana Menteri, lanjutan kepada falsafah itu ialah konsep 1Rantau dan akhirnya, 1Dunia.

Mengimbas kembali perkembangan serantau 40 tahun yang lepas, Najib berkata Aisa Tenggara dibelenggu konflik tetapi hari ini, secara amnya, ia merupakan satu rantau yang aman dan stabil.

Katanya budaya aman dan stabil di rantau itu dicapai hasil bentuk keserantauan Asean yang diasaskan kepada dialog dan penglibatan secara konstruktif.

Mengenai cabaran membentuk satu rangka kewangan global yang baru, Najib berkata ia penting bagi memastikan kemakmuran dikongsi secara adil.

Katanya mekanisme yang sewajarnya disediakan bagi menangani manipulasi sistem secara melampau.

Katanya tanpa rangka kerja kawal selia yang baik, dunia akan menjadi huru hara dan penduduknya akan sengsara.

"Kita tidak boleh benarkan lagi kapitalisme berasaskan sifat tamak terus berkuasa," kata Perdana Menteri.

Menyentuh perubahan iklim pula, Najib berkata ia merupakan satu cabaran yang bukannya harus ditangani generasi akan datang tetapi oleh generasi sekarang.

Katanya tragedi seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, taufan di Filipina, tsunami di Samoa dan banjir besar di selatan India, merupakan peringatan mengenai betapa dunia kini menjadi semakin rapuh dan negara-negara saling perlu bergantung.

Najib berkata walaupun tanggungjawab pemimpin dan pembuat dasar dalam memastikan semua cabaran ini bukannya mudah tetapi mereka tidak mampu untuk sekadar berdiam diri.

"Kita perlu lakukan apa yang betul walaupun jika ianya sukar. Ini adalah cabaran semasa kita, yang tidak boleh dibiarkan tanpa dihadapi atau diselesaikan.

"Ia mesti diselesaikan sendiri oleh masyarakat dunia dengan semangat dan tujuan yang satu dengan menggembleng kekuatan persaudaraan dan pengalaman bersama kita," kata Perdana Menteri. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan