Manifesto Chua cuba jatuhkan kepimpinan MCA - Ong

Diterbitkan: Selasa, 6 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Manifesto bekas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilancarkan semalam bukan untuk mengembalikan kekuatan parti tetapi bertujuan untuk menjatuhkan kepimpinan MCA sekarang, kata Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Katanya beliau kesal dengan manifesto itu kerana sebelum ini Dr Chua telah menyatakan pendiriannya yang tidak berniat untuk mengganggu kepimpinan beliau.

"Dia boleh lancarkan apa saja dan itu pun bukan kali pertama cuma satu yang saya nampak dengan begitu ketara sekali sebab sebelum ni beliau pernah sumpah dan cakap secara lantang bahawa bukan dia nak tumbangkan kepimpinan saya sebagai presiden dan tak berniat untuk mengambil alih atau menawan jawatan presiden.

"Tetapi sekarang nampaknya apa yang nampak depan mata termasuk juga resolusi yang dicadangkan itu semuanya adalah satusatunya perancangan yang menjurus ke arah menumbangkan saya dan kemudian bila beliau dikembalikan keahlian dan jawatan sebagai Timbalan Presiden, beliau akan ambil alih," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan MCA Kelantan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dr Chua semalam yang mengumumkan manifestonya yang bertujuan mengembalikan kekuatan parti selain membidas Ong menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu Sabtu ini.

Dr Chua berkata bahawa sejak Ong menerajui MCA setahun lalu, pengaruh parti itu dalam politik tanah air dan di kalangan ahli akar umbi telah merosot dan Ong harus bertanggungjawab terhadap perkara itu. Presiden MCA itu berkata beliau juga kesal dengan tindakan Dr Chua membidas kepimpinannya semalam dan menyifatkan tindakan itu mencerminkan ketidakmatangan sebagai seorang pemimpin.

"Itu cuma mencerminkan budi pekerti dan tahap kematangan seseorang pemimpin...itu saja. Saya tak pertikai dan tak nak bertikam lidah dengan sesiapa, apa yang saya buat cuma sekadar maklumkan perwakilan apa sebenarnya berlaku dalam parti," katanya.

Mengenai pertemuan hari ini, Ong berkata beliau menjelaskan kepada perwakilan MCA peringkat bahagian di Kelantan mengenai perkara yang sedang berlaku di dalam parti dan bagi mendapatkan maklum balas demi kebaikan parti.

"Itu satu cara kita boleh dapatkan maklum balas dan senario sebenar mengenai kedudukan parti, bagi saya apa yang akan berlaku pada 10 Oktober ini dalam EGM MCA, itu di luar dugaan saya kerana Tuhan dan perwakilan yang menentukan, saya sekadar jalankan tugas sebagai presiden parti," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan