Saya tidak dijanjikan apa-apa jawatan, kata Isa

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata beliau tidak dijanjikan apaapa jawatan dalam kerajaan negeri jika menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Okt ini.

Beliau berkata perkara itu bukan menjadi keutamaan baginya yang mahu berkhidmat untuk masyarakat di kawasan itu.

"Saya tak dijanjikan apaapa jawatan dalam kerajaan negeri. Saya hanya diminta menjadi calon BN oleh pucuk pimpinan dan jika menang saya akan meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat untuk orang kampung saya sendiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media sama ada beliau akan dijadikan exco kerajaan negeri itu sekiranya memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Sebelum itu beliau dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kesatuan PekerjaPekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) dan Kelab Kakitangan Kementerian Pertahanan Negeri Sembilan (Kakep Ns) di sini.

Mohd Isa berkata ini adalah pertama kali beliau ingin berkhidmat di kawasan Bagan Pinang iaitu di kampungnya sendiri.

"Niat saya untuk terus menabur khidmat bakti sebagai wakil rakyat kepada penduduk di Bagan Pinang.

"Saya bertanding hanya untuk memenangi kerusi DUN Bagan Pinang, itu saja....saya tak dijanjikan apa-apa," katanya.

Sementara itu, Mohamad ketika ditanya adakah akan membuat rombakan exco berkata perkara itu tidak timbul kerana keutamaan sekarang adalah untuk memastikan BN menang di Bagan Pinang.

"Saya akan tumpukan seluruh usaha untuk menang dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ini dan perkara (rombakan exco) itu akan difikirkan kemudian," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan