Kata mesti dikotakan, kata Dr Koh kepada Lim

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk mengotakan apa yang diperjuangkannya, terutama berkaitan ketelusan.

"Beliau (Lim) memperjuangkan ketelusan tetapi beliau sendiri tidak telus. Apa yang saya mahukan ialah ketelusan dan kebolehpercayaan," kata Dr Koh yang merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang selepas merasmikan Seminar Pengurusan Pengaduan Awam di sini hari ini.

Dr Koh berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut antara beliau dan Lim selepas Ketua Menteri itu pada minggu lepas berkata beliau bersedia berdebat dengan Dr Koh mengenai isu tanah di negeri itu semasa pentadbiran bekas ketua menteri itu.

Sebagai jawapan kepada cabaran itu tiga hari lepas, Dr Koh berkata beliau mahu kerajaan negeri sekarang mengubah status minit mesyuarat Exco mengenai isu Kampang Buah Pala supaya semuanya dijalankan secara telus, sebelum debat diadakan.

Semalam, Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP menuduh Dr Koh yang juga Presiden Gerakan sebagai tidak ikhlas kerana meletakkan syarat bagi debat itu.

"Saya telah nyatakan syarat saya tetapi ini tidak bermakna saya tidak ikhlas. Beliau sepatutnya bersikap telus. Saya telah minta beliau mengumumkan minit mesyuarat Exco (Kampung Buah Pala) dan beliau sepatutnya bersedia berbuat demikian. Tampaknya perjuangan beliau bagi ketelusan sebenarnya tidak telus langsung," kata Dr Koh.

Sementara itu mengenai majlis hari ini, beliau berkata Biro Pengaduan Awam menerima purata 11,000 aduan terhadap kakitangan awam setiap bulan.

"Dan 40 peratus aduan itu diterima melalui kaedah elektronik seperti emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Ini juga menunjukkan orang awam sudah mula membuat aduan jika mereka mempunyai kemudahan untuk berbuat demikian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan