BN Selangor cabar kesahihan Selcat, hukuman gantung ADUN

Diterbitkan: Ahad, 4 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo akan mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu yang menggantung mereka daripada menghadiri sidang dewan antara enam bulan dan setahun, minggu depan.

Kes mencabar keputusan itu yang berhubung kait dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan difailkan sama ada esok ataupun lusa di Shah Alam.

Ia disahkan oleh Dr. Khir yang juga ADUN Sungai Panjang dan ketua BN negeri.

Selain itu, Dr. Khir berkata, pihaknya juga akan memfailkan kes mempertikaikan kesahihan pembentukan Selcat yang menurut beliau tidak mendapat 'persetujuan' Sultan Selangor selain ia mengatasi kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami akan memfailkan kes dari dua sudut... satu berkaitan dengan keputusan menggantung saya selama setahun dan empat ADUN selama enam bulan.

"Kedua, pembentukan Selcat sendiri akan dicabar. Kami merasakan ada kes, wujud banyak ruang pertikaian, banyak perkara yang boleh dipertikai," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Dr. Khir berkata, urusan untuk memfailkan kes mencabar keputusan DUN menggantung mereka sudah hampir selesai.

"Ia akan difailkan dalam tempoh sehari, dua ini," kata beliau sambil menambah, kes kedua akan dibawa dalam waktu terdekat, kemungkinan pada minggu berikutnya.

Pada 16 Julai lalu, DUN meluluskan usul penggantungan kelima-lima ADUN berkenaan.

Tindakan itu diambil setelah Dr. Khir gagal hadir sesi pendengaran awam terbuka Selcat berhubung pemberian/sumbangan/derma/hadiah atau apa-apa bentuk kewangan oleh kerajaan negeri, agensi, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Dr. Khir juga didapati bersalah terhadap tiga tuduhan membuat kenyataan yang menghina legitimasi Selcat dalam media dan menerusi blognya.

Sementara itu, empat lagi ADUN BN, Datuk Marsum Paing (Dengkil), Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) digantung daripada menghadiri sidang DUN dan elaun ditarik selama enam bulan kerana didapati bersalah guna media menghina Selcat.

Minggu lalu ketika dihubungi, Dr. Khir mempertikaikan Selcat sambil menyifatkan isu terbaru yang menyelubungi badan itu sebagai bukti wujudnya perebutan kuasa antara Menteri Besar dan Speaker DUN Selangor.

Dr. Khir juga memberitahu, Selcat digunakan sebagai "instrumen kuasa politik, bukannya untuk memperbaiki pengurusan kerajaan negeri."

Diminta mengulas lanjut mengenai kes kedua mempertikaikan kesahihan pembentukan Selcat, Dr. Khir berkata, pihaknya mempunyai maklumat bahawa rang undang-undang untuk membentuk Selcat tidak mendapat perakuan Sultan Selangor.

"Kami mempunyai maklumat bahawa rang undang-undang yang diluluskan oleh DUN tidak mendapat perkenan Istana. Ia menjadi undang-undang (secara automatik) selepas tempoh selama 30 hari.

"Walaupun ia boleh menjadi undang-undang selepas tempoh 30 hari tetapi ia seharusnya menerima perakuan Tuanku Sultan. Kita perlu menghormati Istana dan perlu wujud suasana baik antara Istana dan kerajaan negeri.

"Ini kali pertama belaku situasi seperti ini. Jadi, kami berpendapat pembentukan Selcat tidak sah," katanya.

Selain itu kata beliau, peruntukan Selcat juga membolehkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM5,000 dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mempertikaikan Selcat.

"Selcat tiada kuasa untuk memenjarakan sesiapa. Peruntukan hukuman ini saya rasa sudah mengatasi hak di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mengenai kedudukan dua wakil rakyat BN dalam Selcat, Dr. Khir berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

Bagaimanapun katanya, BN tidak mengiktiraf kewujudan Selcat.

Kedua-dua wakil berkenaan, Ismail Sani iaitu ADUN Dusun Tua dan ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak sedang mempertimbangkan kemungkinan keluar Selcat.

Perjalanan Selcat kini dikritik dengan pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa mereka dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa itu.

Ia turut disokong oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamad Ali yang juga Exco Kerajaan Negeri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan