Satu lagi pasukan perubatan dihantar ke Padang

Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu lagi pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai perubatan dan doktor pakar surgeri di hantar ke Padang, Indonesia dalam Misi Bantuan Kemanusiaan.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata perkara itu disuarakan Perdana Menteri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa penghantaran kumpulan pertama misi itu di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat sini.

"Pasukan kedua itu dijangka dihantar hari ini atau esok bagi membantu kerja pembedahan mangsa yang cedera dalam gempa bumi itu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghantaran pasukan pertama oleh Perdana Menteri hari ini.

Seramai 88 anggota, terdiri daripada anggota MKN (dua), Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) (25), Kor Perubatan Teknikal ATM (17), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (lapan), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) (empat) dan selebihnya petugas media tempatan berlepas ke Padang pada pukul 9 pagi menaiki tiga pesawat C130 TUDM.

Azizan berkata pasukan pertama itu akan ditempatkan di sana selama 10 hari dan penambahan anggota pasukan itu akan dilakukan jika diperlukan namun ia bergantung kepada keperluan.

Katanya yang turut dihantar ke Padang ialah komponen Tentera Darat seperti sebuah kenderaan Land Rover, dua buah ambulans dan tiga tan peralatan perubatan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan