Manoharan dibebaskan sepenuhnya daripada ISA - Ketua Polis Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini berkata, Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah M. Manoharan telah dibebaskan sepenuhnya daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Kementerian Dalam Negeri.

Manoharan yang dibebaskan daripada tahanan ISA secara bersyarat pada 9 Mei tahun ini, perlu melaporkan diri di Balai Polis Daerah Klang setiap Isnin mulai 8 pagi hingga 5 petang dan berkelakuan baik.

"YB Manoharan telah dibebaskan sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai Manoharan yang pergi ke Tanzania untuk menghadiri Persidangan Persatuan Anggota Parlimen Komanwel (CPA) mulai 28 Sept hingga 6 Okt.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Seminar Pencegahan Jenayah di kampus utama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Ketika ditanya sejak bila Manoharan dibebaskan sepenuhnya, beliau berkata: "Saya tidak pasti..saya dimaklumkan dia telah dibebaskan sepenuhnya."

Sebelum ini, Manoharan dilaporkan telah mendapatkan kebenaran polis untuk menghadiri persidangan itu tetapi telah ditolak.

Khalid, sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, polis menolak permohonan Manoharan disebabkan beliau dibebaskan dengan bersyarat.

Persidangan CPA itu merupakan aturcara tahunan antarabangsa yang dihadiri oleh wakil Dewan Undangan negeri dari negara-negara Komanwel. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan