Detik cemas penuntut Malaysia di Padang

Diterbitkan: Jumaat, 2 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUBANG: Para penuntut Malaysia yang pulang dari Padang hari ini masih dalam keadaan trauma selepas mengalami detik-detik cemas semasa gempa bumi melanda Sumatera Barat dua hari lepas.

Milfasari Muzammil dan Shangeeta Krishnan, pelajar tahun pertama Fakulti Kedoktoran Universitas Andalas, yang baru mendaftar pada bulan Ogos, tidak menyangka gegaran yang sering mereka alami setiap hari berakhir dengan tragedi.

Milfasari, 19, berkata beliau sedang berkumpul bersama rakan-rakan di fakulti itu apabila gempa bumi melanda kota Padang.

"Selepas kejadian gempa itu, kami kehilangan arah untuk beberapa jam kerana keadaan gelap gelita akibat bekalan elektrik dan komunikasi terputus.

"Selepas itu kami terpaksa berjalan sejauh lima kilometer ke kawasan bukit untuk mendapatkan perlindungan," katanya yang kelihatan pucat dan tidak bertenaga.

Shangeeta, 19, pula berkata beliau sedang menghadiri kuliah semasa kejadian berlaku.

"Saya tak menyangka kurang tiga bulan kami di Padang, kami akan mengalami kejadian buruk seperti ini. Saya bersyukur kerana saya dan rakan-rakan selamat.

"Selepas gempa berlaku, saya lihat semua (rakan) tunduk sambil mencangkung seperti mana yang diajar kepada kami kerana hampir setiap hari berlaku gegaran kecil," kata Shangeeta yang tidak sabar untuk bertemu keluarganya yang menanti kepulangannya.

Katanya mereka kemudian berlari ke kawasan lapang bagi mendapatkan pertolongan sambil melihat satu persatu bangunan di sekeliling universiti itu runtuh akibat gempa berkenaan.

Pelajar tahun empat di universiti sama, Suresh Rao Sandubaboo pula berkata gempa tersebut merupakan kejadian paling buruk yang pernah dialaminya.

"Saya tidak menyangka berlakunya gempa kerana ketika itu sedang membuka pintu rumah sewa... berkali-kali saya cuba tetapi kunci seperti rosak. Apabila kunci terjatuh di lantai, baru saya sedar ada gegaran besar kerana kepala saya pening," katanya.

Akibat kejadian itu, katanya, bangunan universitinya rosak hampir 50 peratus dan mungkin mengambil masa lama untuk dibaiki.

"Kami semua diberikan cuti darurat oleh pihak universiti dan hanya akan menyambung semula pengajian setelah keadaan disahkan selamat," kata Suresh.

Bagi Shangeetha Nagarajan, 18, beliau masih trauma ekoran kejadian itu.

Menurutnya beliau berada dalam kelas mengikuti taklimat penuntut baru apabila dikejutkan dengan bunyi bising sebelum menyaksikan kejadian gempa berlaku di depan mata.

"Ketika kejadian, dinding kampus semua dah jatuh, ada rumah yang ranap, ada rumah terbakar... ia memang pengalaman yang menakutkan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak cedera dan amat bersyukur kerana terselamat.

"Dalam keadaan panik itu, saya tidak terfikir untuk berlari, bagaimanapun saya amat bertuah kerana ketika itu penuntut senior menjaga kami dan membawa kami ke tanah lapang," kata penuntut dari Negeri Sembilan itu.

Penuntut Syariah Institut Agama Islam Agama, Imam Bonjol, Padang, Azrul Aminurasshid Mohd Ali, 23, pula berkata ketika kejadian beliau sedang mengikuti kuliah.

"Kira-kira 5.30 petang (waktu tempatan), keadaan pada mulanya hanya gegar biasa tetapi tiba-tiba gegaran jadi lebih kuat dan kami semua bertempiaran lari sebab kelas di tingkat dua.

"Keadaan ketika itu memang bahaya kerana bangunan universiti sudah retak," katanya," katanya.

Azrul juga berkata beliau trauma melihat beberapa rakannya cedera dan ramai yang terkorban akibat gempa bumi itu.

"Saya nampak ada orang dihempap bangunan yang runtuh... ada juga penuntut Malaysia yang cedera akibat terkena kepingan zink di mukanya," katanya yang berlari ke tempat lapang sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Beliau mengakui masih terkejut dengan peristiwa itu dan bimbang untuk kembali ke Padang. Penuntut tahun empat Universitas Andalas, Marwiza Abdul Ghani, 25, berkata kejadian gempa itu paling teruk dialaminya setelah melalui kirakira 30 insiden gempa di Padang sebelum ini.

Ketika kejadian itu, beliau berada di rumahnya di Kampung Minahasa dan beliau terdengar bunyi bising dan pelik selain ada gegaran.

"Memang bergegar kuat... kalau dahulu (ketika gempa) saya masih boleh berlari keluar, tapi kali ini memang sangat kuat sehinggakan tidak boleh berdiri langsung. Nak keluar dari rumah memang sangat susah sampai saya terjelepuk di kawasan pagar," katanya.

Bagaimanapun, Marwiza bersyukur kerana dapat keluar dari rumahnya dan berlari ke kawasan lapang tanpa sebarang kecederaan. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan