Gempa Padang: Jumlah kematian masih bercelaru

Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat petang semalam masih bercelaru dengan pelbagai laporan menyebut antara 215 orang hingga hampir 500 orang terkorban setakat tengah hari ini, ketika usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan.

Pemerintah Indonesia bagaimanapun menganggarkan jumlah kematian akan mencapai angka ribuan kerana masih ramai mangsa yang dikhuatiri tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan lebih 1,000 bangunan termasuk hotel dan rumah serta prasarana lain.

Laporan beberapa pihak berkuasa setempat sehingga tengah hari ini menyebut lebih 100 mangsa dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan Hotel Ambacang di tengah Kota Padang dan lebih 60 murid pula terperangkap dalam bangunan tiga tingkat tempat mereka sedang mengikuti tuisyen ketika kejadian pada pukul 5.16 petang semalam.

Visual TV tempatan menunjukkan anggota tentera, ibu bapa dan orang ramai masih berusaha mencari dan menyelamatkan muridmurid itu, termasuk dengan menggunakan kudrat tangan kosong cuba mengalihkan tiang dan dinding konkrit yang sangat tebal, diiringi jerit tangis kaum keluarga yang menunggu.

Daripada hotel Ambacang pula, kelihatan seorang wanita berjaya di selamatkan dalam keadaan letih lesu dan terus dikejarkan ke hospital, pada ketika beberapa hospital termasuk Hospital Mohamed Jamil dilaporkan sudah tidak cukup tangan menangani mayatmayat mangsa yang dibawa ke situ.

Sejumlah orang juga dilaporkan masih terperangkap dalam runtuhan bangunan Hotel Bumi Minang, yang merupakan satu daripada hotel yang digemari rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana.

Maklumat dari pusat bencana di Pejabat Gabenor Sumatera Barat pula menunjukkan 215 orang disahkan mati di tiga lokasi utama yang paling teruk dilanda gempa iaitu di Kota Padang (139 orang), daerah kecil Padang Pariaman (62) dan Kota Pariaman (14).

Ketika keadaan di Kota Padang, Padang Pariaman dan Kota Pariaman masih kelam kabut, pagi ini Pulau Sumatera digoncang lagi oleh gempa bumi berkekuatan 7.0 SR di Jambi, berpusat di KM 46 ke tenggara Sungai Penuh pada kedalaman 10 KM di daratan pada pukul 8.52 pagi, dan gempa 5.5 SR berdekatan pada pukul 9.20 serta gempa 5.1 SR di Sipura Mentawai pada pukul 10.34 pagi.

Pemerintah Indonesia mengisytiharkan keadaan darurat bagi provinsi Sumatera Barat dan pelbagai bantuan ubat, makanan dan minuman dilapor telah dikirim ke sana dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang baru pulang dari Amerika Syarikat dijadual melawat Padang hari ini. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 200 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat ini.

Priyandi Kardono, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata jumlah kematian yang dilaporkan setakat ini adalah dari kawasan Padang.

Jumah angka korban dijangka meningkat di kawasan-kawasan lain kerana sistem perhubungan dan komunikasi di kawasan Sumatera barat terputus.

Kardono berkata hampir 500 bangunan runtuh di Padang yang menempatkan kira-kira 900,000 penduduk.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. AP

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat malam tadi.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital. "Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, malam tadi.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang malam ini kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada pukul 5.16 petang Rabu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang dari sini ke Padang esok untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan