Malaysia sedia AS$1 bilion usahasama dengan Arab Saudi - Berita Semasa | mStar

Malaysia sedia AS$1 bilion usahasama dengan Arab Saudi

Diterbitkan: Rabu, 30 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyediakan dana berjumlah AS$1 bilion dalam usaha sama membabitkan AS$2.5 bilion bersama Arab Saudi, dengan negara Arab itu menyediakan bakinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan memperoleh dana itu menerusi terbitan bon.

"Wang itu sudah tersedia. Ia disahkan oleh gabenor bank pusat (Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz) semalam," katanya.

Usaha sama itu adalah antara 1Malaysia Development Bhd, syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, dan PetroSaudi International Ltd, syarikat yang berpejabat di Al-Khobar, Arab Saudi.

Usaha sama itu akan bermula dengan pelaburan dalam sektor petroleum, minyak dan gas, tenaga diperbaharui, hartanah di Malaysia dan luar negara, kata Najib selepas melancarkan logo baharu Lembaga Tabung Haji, di sini Rabu.

Maklumat lanjut mengenai pelaburan kami akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya dan menambah, keuntungan daripada pelaburan di luar Malaysia, akan dibawa balik.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata lebih banyak pelaburan seperti itu akan datang dari Arab Saudi selain negara Timur Tengah yang lain yang mempunyai lebihan modal.

Tujuan kerjasama tersebut ialah untuk memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi negara Malaysia dalam jangka panjang, dan akan mencetuskan lebih banyak peluang pelaburan di dalam dan di luar negara.

"Ia juga mencerminkan keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap Malaysia serta hubungan dua hala antara kedua-dua negara," kata Perdana Menteri.

Najib berkata beliau percaya kerjasama itu akan memberi sumbangan dan suntikan yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka pendek dan panjang. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan