Peningkatan jumlah maut bukan kegagalan Ops Sikap

Diterbitkan: Selasa, 29 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah kematian dalam Ops Sikap ke-20, yang berakhir Ahad lepas, tidak menggambarkan kegagalan keseluruhan operasi itu sebaliknya ia dilihat dapat menyedarkan masyarakat tentang sikap sebenar pengguna jalan raya di negara ini.

Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Aziz Yusof berkata walaupun kadar kematian dalam operasi berkenaan tidak dapat dikurangkan berbanding tempoh sama tahun lepas, purata kematian itu adalah 17.7 peratus yang sedikit rendah berbanding 17.8 peratus pada 2008.

Katanya purata kematian dalam operasi ini tidak banyak bezanya berbanding 2008 ekoran wujud pertambahan 800,000 kenderaan baru didaftarkan dan jumlah kenderaan menggunakan lebuh raya PLUS tahun ini meningkat sebanyak 500,000 kepada dua juta kenderaan berbanding 1.5 juta tahun lepas.

"Oleh itu, ia tidak boleh diukur pada statistik semata-mata tetapi kena tengok secara keseluruhannya. Peningkatan jumlah itu memberi gambaran kepada masyarakat kita bahawa inilah sikap sebenar segelintir pemandu Malaysia yang masih lagi tidak berubah sikap di jalan raya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena penutupan Ops Sikap Ke-20 di sini, Selasa.

Dalam Ops Sikap ke-20, sebanyak 265 kematian dicatatkan berbanding 208 kematian pada 2008 manakala jumlah kemalangan bertambah sebanyak 1,339 kepada 17,335 berbanding 15,996 tahun lepas dan jumlah saman sebanyak 152,745 berbanding 124,581 tahun lepas.

Beliau berkata sikap pengguna jalan raya tidak mematuhi undang-undang masih tinggi dengan 80 peratus kes kemalangan maut yang dicatatkan berpunca daripada kecuaian pengguna itu sendiri.

"Kemalangan maut kebanyakannya berpunca kerana memandu laju sehingga menyebabkan mereka terbabas, tidak lepas memotong kenderaan dan memasuki laluan salah.

"Pengguna motosikal pula masih merupakan penyumbang kemalangan maut tertinggi iaitu 55.9 pertus dengan kematian 148 orang, manakala jalan persekutuan merupakan laluan paling banyak berlaku kemalangan maut iaitu 43.6 peratus atau 105 kes daripada 241 jumlah keseluruhan kemalangan maut," katanya.

Abdul Aziz berkata usaha mengurangkan kemalangan jalan raya tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata sebaliknya meliputi pendidikan, kejuruteraan dan maklum balas kecemasan.

Polis yang menjalankan penguatkuasaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan menyumbang kepada kemalangan maut seperti memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan, katanya.

"Tujuan Ops Sikap ialah untuk mengubah sikap... jika pengguna masih tidak bersedia untuk berubah sikap, selagi itulah kita akan menyaksikan jumlah kemalangan maut yang terus meningkat walaupun pelbagai usaha dijalankan," katanya.

Abdul Aziz berkata PDRM menerima banyak maklum balas dan cadangan orang ramai yang memberi gambaran bahawa kesedaran masyarakat semakin meningkat dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut terutama pada musim perayaan.

"Kita akan melihat cadangan-cadangan yang dikemukakan itu dan sekiranya bersesuaian kita akan laksanakan dalam usaha berterusan polis mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan