Lembu sekali lagi diarak dalam demonstrasi di Selangor

Diterbitkan: Selasa, 29 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Baru sahaja sebulan demonstrasi secara aman oleh 200 penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang dicemari dengan insiden mengarak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah 28 Ogos lepas, sekali lagi lembu diarak ke bangunan yang menempatkan kompleks pentadbiran kerajaan negeri di sini hari ini.

Kali ini 75 anggota Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor berarak di hadapan pintu masuk utama bangunan itu membawa 30 kenderaan termasuk lori dan trak pikap yang memuatkan lembu, kambing dan tong susu.

Pengerusinya Samad Kassim berkata demonstrasi secara aman itu diadakan kerana tidak berpuas hati dengan kelewatan pihak kerajaan negeri menangani masalah yang dihadapi dua orang anggota persatuan itu, malam Khamis lepas.

Dalam insiden itu, ladang ternakan yang menempatkan lebih 300 ekor lembu dan kambing di Lembah Sungai Tua Hulu Yam ditenggelami air dan sampah sarap apabila sebuah empangan yang terletak berhampiran ladang itu pecah dan menghanyutkan sampah sarap dari sebuah kawasan pelupusan sampah berdekatan pada pukul 8.50 malam.

Sehingga hari ini, tidak ada wakil rakyat atau Exco Pertanian Selangor Yaakob Sapari turun sendiri ke tempat kejadian bagi melihat tempat tragedi itu dan menghulurkan bantuan kepada penternak, katanya kepada pemberita.

Samad berkata bantuan yang diterima setakat ini ialah bantuan makanan haiwan yang diberikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Selangor.

Apa yang menyedihkan, katanya komen daripada seorang Ahli Majlis Perbandaran Selayang yang mempertikaikan kandang lembu dan kambing itu didirikan secara tidak sah sedangkan salah seorang daripada penternak, Mohd Sharif Gulam yang menternak 200 lembu daging mempunyai permit dan membayar cukai kepada Majlis Perbadaran.

Samad kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum mengadakan pertemuan ringkas dengan Yaakob berhubung isu itu.

Selepas pertemuan itu, beliau berkata pihak kerajaan negeri berjanji untuk memberi bantuan bekalan makanan, air bersih, bahan binaan bagi membina kandang sementara dan jentera bagi membersihkan kawasan kandang dan menanam bangkaibangkai haiwan.

"Kita bagi tempoh seminggu, kalau tidak ada bantuan kita akan buat satu lagi press conference (sidang akhbar)," katanya.

Selain itu, Samad berkata salah seorang pemilik kandang yang beroperasi di bawah talian Tenaga Nasional Bhd telah dijanjikan satu tapak yang sesuai untuk memindahkan ternakannya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan