Pusing kanan, pusing kiri, nama Isa juga yang disebut sebagai calon

Diterbitkan: Isnin, 28 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TELOK KEMANG: Walaupun di selubungi kontroversi di sebalik karier politiknya tetapi Barisan Nasional (BN) dijangka akan meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Pemilihan Isa sebagai calon dilihat dapat memenuhi kehendak pengundi DUN Bagan Pinang yang masih mahukan beliau berkhidmat kepada penduduk setempat berdasarkan perkhidmatannya sebelum ini sebagai menteri besar dan juga wakil rakyat di kawasan itu.

Berdasarkan rekod pengalamannya, Isa pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi selama enam penggal, termasuk sepenggal sebagai Ahli Parlimen Jempol.

Menurut sumber, Umno Telok Kemang yakin kepimpinan Umno Pusat di bawah Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan membuat pilihan yang tepat berdasarkan kemampuan dan penerimaan seseorang itu di kalangan pengundi.

"Kita yakin (Umno) Pusat akan memilih Tan Sri Isa sebagai calon kerana beliau memang dikenali dan masih diterima oleh penduduk di sini.

"Dan BN perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya kerana faktor calon itu sendiri bakal menjadi penentu untuk BN mengekalkan penguasaan di Bagan Pinang," kata sumber tersebut kepada mStar Online.

Malah penerimaan Isa di DUN Bagan Pinang juga dilihat bersesuaian kerana beliau merupakan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang di samping mempunyai rantaian sanak saudara dan keluarga yang ramai di situ.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR).

Satu lagi kerusi iaitu DUN Linggi dimenangi BN.

Sokongan dan penerimaan penduduk setempat terhadap Isa juga dapat dilihat berdasarkan cadangan pada peringkat awal oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang yang hanya menyenaraikan nama beliau sebagai calon.

Kerusi Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, pada 4 September lepas. Azman adalah ADUN daripada BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 3 Oktober ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian adalah pada 11 Oktober.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa BN telah menerima lebih daripada satu nama yang dicadangkan sebagai calon di DUN Bagan Pinang.

Muhyiddin turut berkata beliau yakin calon yang akan diumumkan BN pada petang esok tidak akan mendapat bantahan malah akan diterima oleh semua ahli parti dan parti-parti komponennya.

Kenyataan Muhyiddin itu mungkin sedikit sebanyak dapat memberi petunjuk kepada kemungkinan Isa akan dipilih sebagai calon untuk mewakili BN.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon yang paling layak untuk mewakili parti itu.

"Saya serah kepada pucuk pimpinan, saya sendiri pun tak tahu siapa yang akan dipilih, kita tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat oleh Timbalan Presiden esok," katanya.

Diminta mengulas sama ada BN akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang di DUN Bagan Pinang jika meletakkan calon berpengalaman seperti Isa, beliau berkata: "Saya enggan komen mengenai perkara ini, ini semua hanya spekulasi, saya yakin dengan keputusan kepimpinan peringkat pusat."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan