Angka kematian akibat A(H1N1) kekal 77 orang - Berita Semasa | mStar

Angka kematian akibat A(H1N1) kekal 77 orang

Diterbitkan: Isnin, 28 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Angka kematian akibat influenza A(H1N1) masih kekal 77 orang selepas tiada kematian baru dilaporkan pada Isnin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata bagaimanapun, 40 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk dirawat manakala jumlah pesakit yang dibenar pulang ialah 97 orang.

"Ini menjadikan baki sebanyak 704 kes ILI sedang dirawat di 86 hospital termasuk lima hospital swasta di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata hanya 113 pesakit atau 16 peratus disahkan positif H1N1 selepas ujian makmal dilakukan, dengan 17 orang atau 15 peratus daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kesemua kes yang disahkan positif H1N1 dan dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu tujuh kanak-kanak di bawah umur lima tahun, empat pesakit obesiti, tiga berpenyakit kronik dan dua lagi menghidap penyakit respiratori kronik, katanya.

"Tiada pesakit baru yang dimasukkan ke ICU hari ini, manakala dua lagi dibenar pulang," kata Dr Mohd Ismail.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak-anak yang sihat sahaja ke sekolah selepas bercuti Hari Raya selama seminggu, manakala pelajar yang mengalami simptom seperti demam atau batuk mesti mendapatkan rawatan segera.

"Ibu bapa perlu segera membawa anak ke hospital jika mereka mengalami simptom seperti masalah pernafasan, batuk atau kahak berdarah, sakit dada berterusan, cirit birit atau muntah yang kerap dan kurang kencing," katanya.

Maklumat dan perkembangan terkini mengenai jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperoleh melalui talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui e-mel di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan