Isu Penan: Wanita PKR gagal serah memorandum kepada Jabu

Diterbitkan: Sabtu, 26 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam gagal menyerahkan memorandum berhubung penderaan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak kaum Penan di Sarawak kepada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Sekumpulan wanita yang diketuai oleh Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, yang tiba pada 9.30 pagi, dihalang daripada memasuki Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya di sini yang menempatkan pejabat Jabu, oleh pengawal keselamatan dengan menutup pintu pagar.

Jabu merupakan pengerusi jawatankuasa Kabinet yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Penan.

Zuraida kemudiannya menyerahkan salinan laporan Jawatankuasa Bertindak Kebangsaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai penderaan seksual wanita Penan di Sarawak dan memorandum terbabit kepada salah seorang pengawal keselamatan itu.

Pada sebelah tengah hari, Zuraida turut menyerahkan salinan memorandum itu kepada Pengarah Biro Wanita Sarawak Norjanah Razali.

Dalam memorandum berkenaan, Wanita PKR menggesa kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera bagi menyediakan pengangkutan dan melantik pemandu kenderaan 'yang boleh dipercayai' untuk membawa pelajar sekolah kaum Penan pergi dan balik dari sekolah ke kampung mereka.

Mereka menggesa supaya lebih banyak sekolah dibina di kawasan luar bandar bagi memenuhi keperluan para pelajar itu dan memastikan supaya mereka tidak melalui perjalanan yang jauh untuk ke sekolah. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan