BN perlu menang di Bagan Pinang - Khairy

Diterbitkan: Sabtu, 26 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini berkata adalah penting bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Pinang walaupun beliau menganggap "kerusi itu agak selamat".

Beliau berkata apa yang penting sekarang ialah persiapan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil di kawasan itu 11 Oktober ini dan Pemuda Umno kini dalam proses mengenal pasti pengundi muda. "Bagi soal pencalonan, kami serahkan kepada pucuk pimpinan dan tidak perlu dibahaskan lagi.

"Bagi jentera Pemuda Umno tiada masalah dan bagi diri saya, Pemuda di Teluk Kemang memang bersatu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Katanya beliau telah berbincang dengan Pemuda MIC untuk saling bekerjasama dengan BN, bukan sebagai parti komponen tetapi sebagai jentera pilihan raya tunggal.

"Semua sayap Pemuda BN akan bekerjasama, bukan sebagai parti komponen berlainan. Sebagai contoh, saya akan mengadakan ceramah di sebuah ladang yang penduduknya majoriti India kerana ia berjiran dengan kawasan yang diwakili saya, Rembau". Katanya respons daripada Pemuda MIC amat baik dan beliau tidak menjangkakan sebarang masalah untuk bekerjasama. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan