Bekas Timbalan Presiden MIC sertai Parti Makkal Sakti?

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Makkal Sakti Malaysia - parti terbaru kaum India negara ini yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bulan depan, bersedia untuk menerima bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam.

"Pintu untuk Parti Makkal Sakti terbuka kepada sesiapa saja termasuk Subramaniam.

"Kami sedia untuk menerima jika mereka berminat untuk menyertai kami," kata Presiden Parti Makkal Sakti, R.S. Thanenthiran.

Parti itu akan dilancarkan dengan rasmi oleh Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 10 Oktober ini.

Thanenthiran berkata, pihaknya belum memberikan jemputan rasmi kepada Subramaniam untuk menyertai Parti Makkal Sakti.

"Bagaimanapun mereka dialu-alukan menyertai parti dan memperjuangkan matlamat penubuhan parti ini," kata beliau sambil menambah, sejak diumumkan penubuhannya tiga bulan lalu, lebih 50,000 orang telah menyertai parti itu.

Bagaimanapun Thanenthiran enggan menyatakan antara orang penting masyarakat India yang telah menyertai partinya.

"Biar tunggu parti ini dilancarkan, saya akan mengumumkannya," katanya.

Ia akan dilancarkan pada pukul 10 pagi di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang.

Parti Makkal Sakti ditubuhkan oleh bekas pemimpin pertubuhan Hindraf yang telah diharamkan Oktober lalu.

Pada 15 September lalu, Subramaniam yang kalah buat kali kedua tiga hari sebelum itu berkata, akan mengumumkan keputusan mengenai masa depan kerjaya politiknya menjelang awal bulan depan.

Subramaniam berkata, beliau sedang mempertimbangkan beberapa opsyen yang ada baginya buat masa sekarang.

Empat opsyen itu ialah kekal berjuang dalam MIC, menubuhkan parti baru, menyertai Pakatan Rakyat atau bersara terus daripada arena politik.

Bagaimanapun beliau enggan memberi bayangan berhubung keputusan yang bakal dibuat itu.

Subramaniam yang berada di luar negara dijangka pulang ke tanah air dalam beberapa hari lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan