Bekas Menteri Besar Pahang meninggal dunia

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Rahim Abu Bakar meninggal dunia di kediamannya di Jalan UThant di sini pukul 7.10 petang semalam dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham berusia 66 tahun.

Anak keduanya, Rosnita, 35, ketika ditemui Bernama di kediamannya berkata bapanya sedang menunggu azan untuk berbuka puasa di meja makan apabila tiba-tiba didapati tidak lagi bernafas oleh ibunya, Datin Rosnah Kamaruddin.

Katanya mereka segera menghubungi paramedik dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan dan Abdul Rahim disahkan sudah meninggal dunia.

"Ayah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum meninggal, bahkan setahu saya Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit tetapi berkemungkinan kematiannya akibat serangan jantung," katanya.

Rosnita berkata kesemua adik-beradiknya sempat menemui Allahyarham sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir kerana masih berada di rumah itu sempena Aidilfitri.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kampung Pandan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas selepas solat Jumaat hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar ketika ditemui menyifatkan pemergian Abdul Rahim sebagai kehilangan besar dalam arena politik negara khususnya kepada Umno.

"Saya mengenali Allahyarham ketika beliau bergiat aktif dalam koperasi dan juga Umno. Saya begitu kagum dengan semangat juang tinggi arwah yang boleh dianggap sebagai pejuang Umno kerana beliau telah membuktikan seorang anak yang bukan daripda keluarga berada pun boleh mencapai kejayaan," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Prof Dr Mohd Ali Baharom berkata beliau sudah meminta semua anggota persatuan itu mengadakan kenduri tahlil di negeri masing-masing bagi mengenang jasa Allahyarham selaku Yang Dipertua Angkasa. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak iaitu Roslina, 37, Rosnita, Mohd Rizal, 32, dan Rosazreen, 25, serta empat cucu.

Abdul Rahim yang dilahirkan pada 7 Feb 1943 di Beserah, Kuantan memulakan karier politiknya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada pilihan raya umum 1978.

Allahyarham, yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, menjadi Menteri Besar Pahang selama kirakira tiga tahun bermula 19 Julai 1978 hingga 7 Nov 1981.

Beliau masih bergiat aktif dalam politik terutamanya Umno walaupun selepas meletakkan jawatannya sebagai menteri besar, antaranya menjadi Anggota Parlimen Kuantan setelah memenangi kerusi Parlimen kawasan itu pada pilihan raya umum 1982.

Abdul Rahim pernah dipilih beberapa kali sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno mulai tahun 1980 tetapi gagal mempertahankan kedudukannya sebagai anggota MT pada pemilihan 1996.

Allahyarham pernah dilantik Timbalan Menteri Tenaga, Pos dan Telekomunikasi pada 1984 selama dua tahun selain menjadi Yang Dipertua Angkasa sejak Januari lepas.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 1982 dan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1986, selain memegang jawatan dalam sektor swasta termasuk Pengerusi Shamelin Holding Sdn Bhd dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan