Tubuh badan penapisan darjah kebesaran

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah badan penapisan perlu ditubuhkan untuk menyaring bakal penerima gelaran darjah kebesaran di negara ini supaya hanya individu yang berkelayakan sahaja dikurniakan anugerah itu, kata Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir.

Beliau berkata langkah itu dapat memastikan individu yang memiliki 'resume' dan kriteria yang tepat sahaja dianugerahkan darjah kebesaran tersebut.

"Jika gelaran itu mahu diberikan kepada seorang usahawan, laporan lengkap mengenai perjalanan perniagaannya dan personalitinya mesti dinyatakan dengan tepat bagi memastikan penerimanya terdiri daripada orang yang betul-betul berkaliber dan bukan juga seorang yang mempunyai rekod jenayah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Moehamad Izat berkata gelaran itu tidak boleh dijualbeli sewenangwenangnya kepada golongan yang tidak layak serta tidak menyumbang kepada negara.

"Kalau orang itu tidak memberi sumbangan apaapa kepada negara atau masyarakat tetapi dia mendapat gelaran datuk atau seumpamanya disebabkan dia ada duit untuk beli gelaran itu, ini tidak betul," katanya.

Moehamad Izat berkata golongan muda juga boleh dianugerahkan gelaran "Datuk" berdasarkan sumbangan besar mereka kepada negara seperti mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dalam bidang sukan atau hiburan.

"Umur adalah penting tetapi jika mereka berjaya membuatkan negara dikenali di serata dunia dan mempunyai rekod cemerlang, seperti pemain badminton Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Siti Nurhaliza, mengapa tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung saranan yang meminta Jabatan Peguam Negara memutuskan sama ada 'pembelian' gelaran seperti Datuk dari luar negara atau ijazah doktor falsafah (PhD) 'secara ekspres' merupakan perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Laporan media itu memetik kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai berkata bahawa kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius dan jika tidak ditangani, akan melahirkan satu generasi 'ilmuwan palsu'.

Ketua Biro Penguatkuasaan Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) Kamal Affandi Hashim berkata orang ramai perlu mengetahui bahawa individu yang mendapat gelaran Datuk dari luar negara perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Yang diPertuan Agong untuk diiktiraf penggunaan gelaran itu di negara ini.

Kamal Affandi yang juga seorang pakar penganalisis jenayah berkata beliau pernah membangkitkan isu pemberian PhD sejak empat tahun lalu, namun sehingga kini tiada tindakan tegas diambil bagi menanganinya.

"Sudah tiba masanya kita meneliti balik undangundang negara kita yang dilihat masih lemah dalam membanteras sindiket pemalsuan di kalangan individu ini kerana setakat ini tiada sebarang laporan dibuat oleh individu yang pernah menjadi mangsa penipuan PhD ini.

"Jika orang ramai melaporkan, (pemegang PhD palsu) ini boleh ditahan dan disabitkan kesalahan mempunyai PhD palsu dan boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Kesalahan Menipu) iaitu penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan dan didenda," katanya.

Bagi bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad, pengurusan universiti perlu memperketat saringan serta mewujudkan satu kaedah khusus bagi membendung pengeluaran PhD secara palsu yang membolehkan pemilikan PhD 'ekspres'.

Abdul Rahman, yang juga Canselor Universiti UCSI, berkata hanya graduan PhD yang memiliki sijil yang tulen sahaja wajar diiktiraf dan mereka juga perlu menyerahkan salinan tesis PhD sebagai rujukan universiti.

"Pada pendapat saya universiti harus memainkan peranan masingmasing dengan memperketatkan saringan serta pemantauan dengan melihat sendiri tesis yang dihasilkan oleh warga pendidik dan bukan menerima bulat-bulat sijil yang diterima," katanya.

Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) Prof Datuk Dr Ahmad Zainuddin pula berkata dalam proses untuk mendapatkan PhD tulen, calon perlu melalui proses Kerapian Akademik yang melibatkan pelbagai tahap termasuk tempoh minimum, penilaian dari lembaga akademik dan kursus penyelidikan.

"Proses mendapatkan PhD merupakan satu 'kehidupan' yang sangat unik dan hanya selepas melalui semua kerapian akademik, baru tercapai 'satu pengetahuan baru' yang dihajati," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan