Isu Selcat: Hasan Ali syorkan rundingan 3 penjuru cari penyelesaian

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang berpendirian mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat), mahu satu pertemuan tiga penjuru - membabitkan Menteri Besar, Exco dan anggota Selcat diadakan bagi menyelesaikan isu menyelubungi badan itu.

"Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan agar segera diadakan pertemuan antara Menteri Besar dan ahli-ahli Exco dengan Selcat bagi membincangkan segala pandangan, hujah dan dakwaan terhadap para pegawai kanan kerajaan negeri yang telah dipanggil Selcat.

"Selepas itu perlu disusuli dengan rundingan tiga penjuru antara Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan ahli-ahli Exco serta Selcat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terbabit demi menjernihkan suasana," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi.

Dalam kenyataan dua halaman, Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, beliau tidak pernah mencadangkan agar keanggotaan Selcat dirombak dan dilantik daripada kalangan bekas-bekas hakim, penjawat awam dan individu yang berpengaruh sebagaimana yang dilaporkan.

"Sebaliknya apa yang saya cadangkan adalah supaya keanggotaannya dipilih daripada kalangan ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang berwibawa, dan memiliki kepakaran dan kebijaksanaan setaraf dengan keanggotaan Surhanjaya Diraja demi memilhara kehormatan institusi Selcat itu sendiri," katanya.

Pada Ahad lalu, Hasan yang ditemui wartawan mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Pemimpin PAS, DAP terkilan pendirian Hasan Ali mempertikai Selcat

Hasan memberitahu, daripada hanya dianggotai oleh ahli-ahli politik memberitahu, keanggotaan Selcat boleh terdiri daripada bekas hakim, pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat terkemuka.

Hasan berkata: "Kami semua menyokong penubuhan Selcat. Tetapi yang saya agak, agak sedikit kecewa ialah dengan cara pengendalian Selcat itu."

"Anda tahu beberapa Pegawai Daerah sama ada yang dipanggil untuk disoal siasat atau diambil keterangan dan sebagainya, tetapi sebagaimana dilaporkan dalam pertemuan kita dengan Yang Dipertua-Yang Dipertua dan termasuk seluruh kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ini, mereka melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

"Mereka merasakan mereka diaibkan, mereka merasakan imej mereka terjejas, mereka merasakan mereka tidak dilayan seperti pegawai kanan kerajaan, sebaliknya dilayan seperti budak sekolah dan dengan asakan soalan-soalan.

"Sebab itu mereka merasakan tiada ruang untuk memberikan jawapan-jawapan yang adil dan ada pegawai-pegawai daerah sendiri tidak tahu bentuk jawapan yang dikehendaki oleh Selcat," kata Hasan lagi.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim merupakan Pengerusinya.

Minggu lalu, Khalid telah mempengerusikan satu mesyuarat membabitkan Exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan berhubung isu Selcat.

Khalid yang turut ditemui Ahad lalu berkata, satu mesyuarat membabitkan Teng akan diadakan bagi menyelesaikan isu Selcat.

KAEDAH SELCAT MENGHINA

Hasan menambah, beliau menyokong penuh obejektif dan falsafah penubuhan Selcat.

"Walau bagaimanapun ekoran siasatan awam yang dilakukan baru-baru ini khasnya yang melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri ternyata Selcat perlu mengkaji semula prosedur serta teknik penyiasatan yang dilakukan," katanya.

Tambah beliau, sesi penyiasatan yang menggunakan kaedah menghina dan menjatuhkan maruah di samping lahirnya unsur tekanan sehingga mencetuskan ketegangan jelas tidak mencerminkan objektif dan falsafah penubuhan Selcat.

"Akibat kaedah ini maruah dan harga diri para pegawai kanan kerajaan telah teruk tercalar dan moral mereka menurun," katanya.

Oleh itu, kata beliau, sepatutnya siasatan Selcat yang berkisar sekitar perbelanjaan peruntukkan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan dahulu tidak sekadar memanggil pegawai-pegawai daerah untuk memberikan keterangan tetapi juga memanggil ADUN-ADUN yang berkenaan.

Dengan cara ini, jelas Hasan, Selcat akan memperoleh maklumat yang seimbang tanpa menyalahkan satu pihak semata-mata.

"Sesungguhnya pentadbiran negeri tidak mampu berfungsi dengan baik seandainya tidak wujud suasana harmoni antara ketiga-tiga pihak ini.

"Sesuai dengan semangat Hari Raya Aidilfitri saya merasakan sangat molek diadakan satu majlis ramah mesra dalam susana yang informal untuk membolehkan ketiga-tiga pihak ini berinteraksi dan berkomunikasi dalam suasana kesetiakawanan dan mahabah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan