Samy berundur menjelang Jun 2010?

Diterbitkan: Rabu, 23 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ORANG PRESIDEN... Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu (paling kanan) menyatakan 'rahsia' pelan peralihan kuasa parti kepada anggota Pasukan Presiden yang memenangi pemilihan 12 September lalu? (Dari kanan) Timbalan Presiden, Datuk G. Palanivel dan ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk M. Saravanan, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Datuk S.K. Devamany.
ORANG PRESIDEN... Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu (paling kanan) menyatakan 'rahsia' pelan peralihan kuasa parti kepada anggota Pasukan Presiden yang memenangi pemilihan 12 September lalu? (Dari kanan) Timbalan Presiden, Datuk G. Palanivel dan ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk M. Saravanan, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Datuk S.K. Devamany.

ANALISIS Oleh G. MANIMARAN Bila, bila dan bila? Bila agaknya Datuk Seri S. Samy Vellu akan melepaskan jawatan Presiden MIC?

Ini antara siri soalan dikemukakan oleh kebanyakan pihak, yang berminat dengan perkembangan politik MIC sejak kebelakangan ini. Ini termasuklah mereka dari dalam lingkungan MIC sendiri dan juga luar MIC sendiri.

Persoalan ini bertambah menarik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sendiri mengatakan bahawa beliau ingin mengadakan pertemuan susulan dengan Samy Vellu mengenai pelan peralihan kepimpinan dalam MIC.

Najib memberikan kenyataan ini kira-kira 10 hari selepas memberikan ucapan yang "keras, terbuka lagi bersifat menyuntik semangat" semasa Perhimpunan Agung MIC Ke-63.

Ketika ditemui wartawan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kelmarin, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, "saya akan sekali lagi berbincang dengan beliau (Samy Vellu)."

Komen ringkas ini membawa maksud yang mendalam, sekali gus menimbulkan pelbagai andaian dan persoalan.

Sekali lagi, jika pemilihan 12 September lalu (bagi jawatan-jawatan pusat selain kerusi Presiden) diambil kira sebagai kayu ukur, apakah ia petanda bahawa Samy Vellu juga sebenarnya telah membayangkan kepada Perdana Menteri tentang tarikh yang sesuai baginya berundur.

Bagaimanapun, nampak gaya perkembangan hari ini memerlukan kajian semula untuk mendapatkan tarikh baru.

Menurut Najib, perbincangan sebelum ini, pada Jun lalu, adalah berdasarkan perkembangan sebelum pemilihan baru-baru ini.

Malah kata Najib, ketika itu Samy Vellu memaklumkan kepadanya yang beliau masih tidak boleh berundur dan jika beliau berbuat demikian, kestabilan parti akan tergugat.

"Tetapi itu sebelum pemilihan parti. Tetapi kini selepas pemilihan, saya akan sekali lagi berbincang dengan beliau tetapi ini tidak harus dilihat sebagai campur tangan BN dalam ehwal dalaman MIC," ujar Najib, yang pada awal 2008 pernah memberi peringatan bahawa MIC perlu berubah jika mahu kekal relevan.

Alasan kestabilan parti juga dinyatakan oleh Samy Vellu ketika ditemui wartawan pada 12 September lalu.

MIC telah mengadakan pemilihan parti 12 September lalu bagi memilih Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat. Samy Vellu menang tanpa bertanding jawatan Presiden untuk 11 penggal berturut-turut, April lalu.

Beberapa hari yang lalu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mengatakan bahawa Samy Vellu adalah melahirkan kesediaan beliau untuk berundur dan menyerahkan tampuk kepimpinan parti itu pada bila-bila masa sahaja, "termasuk esok" jika timbalannya, Datuk G. Palanivel sanggup menerajui parti itu.

"Saya sudah bersedia untuk pergi (melepaskan) jawatan, saya bersedia untuk pergi... hari Isnin, esok pun boleh jika Palanivel merasakan sudah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan parti, saya bersedia untuk menyerahkan kepimpinan kepada beliau.

"Saya tiada masalah. Saya bukan hendak memegang jawatan ini buat selama-lamanya. Tapi ada banyak perkara yang perlu diselesaikan (demi parti dan masyarakat)," tambah beliau. Samy Vellu akan mengadakan perbincangan dengan Palanivel sebaik sahaja beliau pulang dari India.

Sekali lagi dalam komennya semalam Samy Vellu menegaskan, MIC akan berhadapan dengan pelbagai masalah jika beliau melepaskan jawatannya sekarang.

Awal tahun ini timbul desas-desus bahawa Samy Vellu akan melepaskan jawatan yang dimenanginya pada 1981 sebaik sahaja pemilihan parti bagi jawatan-jawatan selain Presiden berakhir September 2009. Ada yang mengandaikan Samy Vellu akan berundur pada bulan berikutnya - Oktober.

Kemudian timbul cakap-cakap bahawa Samy Vellu sudah berubah pendirian. Justeru beliau akan kekal sehingga 2015. Bermakna akan bertanding satu lagi pusingan pemilihan yang kemungkinan besar pada 2012.

Baru-baru ini, beberapa minggu sebelum pemilihan 12 September lalu, Samy Vellu dalam usaha meyakinkan penyokong dan perwakilannya menegaskan, ini merupakan penggal terakhir dan tidak akan bertanding lagi pada pemilihan tiga tahun mendatang.

Dalam komennya kepada sebuah akhbar tempatan, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, proses peralihan kuasa MIC perlu dilaksanakan dengan segera tanpa mengambil satu tempoh masa yang panjang bagi mengembalikan segera sokongan masyarakat India kepada MIC dan BN.

"Sudah tiba masanya pemimpin muda dalam parti itu diberi peluang menerajui MIC.

"Bukan mahu dikatakan Samy Vellu langsung tidak menyumbang kepada parti, tetapi beliau perlu mengutamakan BN dan masyarakat India," katanya.

Oleh itu, apakah wajar Samy Vellu berundur sekarang? Ini satu persoalan yang diperkatakan banyak pihak. Jika ya, bila? Sekali lagi, jika ya mengapa beliau perlu berundur sekarang?

Alasan-alasan yang diketengahkan:

- Sepanjang 18 bulan lalu, selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, Samy Vellu dikatakan telah melaksanakan program penjenamaan semula MIC meliputi pelbagai peringkat dalam usaha untuk memulihkan partinya.

- Pemilihan parti meliputi semua peringkat sudah pun selesai termasuk Samy Vellu telah menang tanpa saingan pada April lalu.

- Hampir kesemua calon Pasukan Presiden pula telah dipilih oleh perwakilan pada 12 September lalu. Ini termasuklah mengekalkan Datuk G. Palanivel sebagai Timbalan Presiden dan memilih tiga muka baru Naib Presiden iaitu Datuk Dr. S. Subramaniam. Datuk S.K. Devamany dan Datuk M. Saravanan. Perwakilan dikatakan memenuhi harapan Presiden dengan memilih mereka.

- Barisan kepimpinan baru memerlukan masa untuk berdikari sebelum pemilihan dan pilihan raya umum akan datang.

- Perhimpunan Agung MIC Ke-63 sudah pun meluluskan resolusi pindaan perlembagaan parti, antara lain mengehadkan tempoh memegang jawatan Presiden dan Ketua Bahagian - tiga lebih daripada tiga penggal selama sembilan tahun. Ini pun sebahagian usaha pemulihan parti.

- Jika pilihan raya umum diadakan pada 2013 (lengkap tempoh lima tahun mandat semasa), apakah barisan kepimpinan semasa mempunyai masa yang cukup untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang? Bagaimana jika pilihan raya diadakan lebih awal iaitu pada 2011 dan 2012?

Mengambil kira pertimbangan-pertimbangan ini, apakah kemungkinan Samy Vellu akan melepaskan jawatannya dalam tempoh enam bulan akan datang?

Seorang anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC berpendapat bahawa Samy Vellu, jika pun perlu berundur disebabkan tekanan yang semakin meningkat dari dalam dan luar parti, beliau tidak harus meninggalkan parti itu begitu sahaja.

"Platform yang paling sesuai ialah perhimpunan agung parti. Ia tempat paling sesuai untuk menyerahkan tampuk kepimpinan parti," kata pemimpin itu sambil menambah, perhimpunan agung akan datang kemungkinan diadakan pertengahan tahun depan.

Ia dijangkakan Mei atau Jun depan!

Sekali lagi jika andaian ini tepat, Samy Vellu mampu mempersiapkan barisan kepimpinan dalam tempoh enam bulan akan datang? Beliau tiada pilihan nampaknya!

Jawatankuasa Kerja Pusat yang baru akan mengadakan mesyuarat pertama pada 29 September ini. Samy Vellu dipercayai akan menggunakan ruang itu untuk menerangkan pelan peralihan kepimpinan parti.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan