Palanivel bayangkan berupaya pimpin MIC, serah pada Samy tetapkan tarikh

Diterbitkan: Rabu, 23 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PRESIDEN MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bersama timbalannya, Datuk G. Palanivel (kanan).
PRESIDEN MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bersama timbalannya, Datuk G. Palanivel (kanan).

PETALING JAYA: Sambil membayangkan beliau juga mempunyai keupayaan untuk menerajui MIC, Datuk G. Palanivel menyerahkan kepada Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi menyerahkan pucuk kepimpinan parti kepadanya.

"Saya pasti bahawa beliau (Samy Vellu) mempunyai pelan yang baik dalam fikirannya khususnya selepas menyokong saya buat kali kedua bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan 12 September lalu.

"Beliau tahu bila masa yang sesuai untuk menyerahkan tampuk kepimpinan parti," kata Palanivel dalam blognya sekembalinya dari India pagi tadi.

"Banyak persoalan dan tekanan telah diletakkan dalam soal pelan peralihan kuasa dalam MIC.

"Saya telah bekerja dengan rapat bersama Datuk Seri S. Samy Vellu selama bertahun-tahun.

"Beliau telah lama menyediakan saya bagi jawatan tertinggi dalam parti," kata Palanivel dengan memilih cermat perkataan sesuai untuk membentuk reaksinya itu.

Seolah-olah menjawab andaian pelbagai pihak yang sudah mula mempertikaikan tentang kebolehan dan keupayaan memikul jawatan nombor satu parti satu hari nanti, Palanivel menekankan bahawa beliau juga mempunyai "keupayaan" untuk menerajui MIC jika diberi peluang.

Malah, menurut bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor dan timbalan menteri itu, ketika beberapa pertemuan berkempen, Samy Vellu pernah mengisytiharkan bahawa "saya mempunyai pengalaman, kematangan dan keupayaan untuk mengambil alih jawatan daripada beliau dan memimpin parti."

Kenyataan ini dikeluarkan dua hari selepas Samy Vellu memberitahu mStar Online bahawa beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya sekarang jika Palanivel bersedia untuk menerajui MIC.

"Saya sudah bersedia untuk pergi (melepaskan) jawatan, saya bersedia untuk pergi... hari Isnin, esok pun boleh jika Palanivel merasakan sudah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan parti, saya bersedia untuk menyerahkan kepimpinan kepada beliau.

"Saya tiada masalah. Saya bukan hendak memegang jawatan ini buat selama-lamanya. Tapi ada banyak perkara yang perlu diselesaikan (demi parti dan masyarakat)," tegas Samy Vellu.

Samy Vellu yang mempertahankan jawatannya buat penggal ke-11 April lalu memberitahu beliau akan mengadakan perbincangan dengan Palanivel sebaik sahaja beliau pulang dari India.

mStar Online difahamkan kedua-dua pemimpin itu belum bertemu setakat 2 petang tadi.

Sambil meminta kesemua ahli parti menyokongnya, Palanivel memberitahu, MIC mempunyai banyak perkara yang perlu dijalankan selepas ini dan tidak mahu membuang masa untuk bergerak ke hadapan.

"Kepimpinan baru terdiri daripada banyak muka baru dan perwakilan dengan bijak telah mengundi untuk membawa perubahan di mana ia diperlukan.

"Adalah baik untuk mempunyai darah muda dan yang berpengalaman. Dengan mandat ini, MIC akan terus menjadi rakan yang efektif dalam Barisan Nasional," katanya.

Ahad lalu, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan susulan dengan Samy Vellu, dipercayai minggu depan, untuk membincakan lagi soal berkaitan dengan pelan peralihan kuasa MIC.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan