Jadikan 1Malaysia sebagai budaya perayaan, kata Samy Vellu

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu menggesa rakyat Malaysia membawa konsep 1Malaysia lebih jauh lagi dengan menjadikannya sebagai sebahagian budaya perayaan mereka.

"Ia perlu dijadikan satu budaya di mana setiap rakyat Malaysia berkongsi impian yang sama dan membina negara bersama-sama," katanya dalam perutusan Hari Raya di sini semalam.

Beliau juga berkata konsep 1Malaysia patut diamalkan pada setiap musim perayaan seperti Hari Raya yang membolehkan orang Islam dan bukan Islam dapat meraikannya bersamasama dan menganjurkan rumah terbuka di kawasan masing-masing.

"Begitu juga, bukan Islam juga boleh menganjurkan program kebudayaan mereka dengan turut disertai masyarakat Islam yang dapat memupuk persefahaman lebih baik dan mengukuhkan perpaduan," katanya.

Katanya semua rakyat Malaysia perlu diberikan jaminan daripada segi keselamatan di samping memiliki semangat kekitaan supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang selesa di negara Malaysia yang makmur ini.

Samy Vellu berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan jaminan bahawa faedah pembangunan akan dinikmati semua kaum.

1Malaysia menuntut rakyat Malaysia mengenepikan sebarang perbezaan dan bekerja sebagai satu bangsa untuk mencapai Wawasan 2020, katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MIC dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam menggesa rakyat Malaysia untuk berusaha bagi kecemerlangan berikutan dunia kini telah menjadi lebih terbuka dan kompetitif.

"Tidak dapat disangkal bahawa Malaysia hanya boleh terus bertahan dalam dunia kompetitif ini jika semua warganegara hidup secara aman dan harmoni," katanya dalam perutusan Hari Raya beliau.

Katanya semenangnya tidak ada "satu saiz yang sesuai untuk semua, tetapi 1Malaysia sesuai untuk semua iaitu Malaysia yang bersatu-padu".

Dr Subramaniam berkata jika semua rakyat Malaysia mempunyai azam yang kuat, impian untuk mencapai satu "Bangsa Malaysia" akan dapat dicapai lebih awal daripada 2020. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan