Isu Selcat: Pakatan Selangor tiada krisis hanya Hasan Ali dilanda krisis, kata Teng

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (dua dari kiri) bersalaman dengan mereka yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri/Menteri Besar di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam hari ini. Bersama beliau ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim (paling kiri) dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (dua dari kanan). - foto The Star oleh SAM THAM
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (dua dari kiri) bersalaman dengan mereka yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri/Menteri Besar di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam hari ini. Bersama beliau ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim (paling kiri) dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (dua dari kanan). - foto The Star oleh SAM THAM

SHAH ALAM: Tiada krisis dalam Pakatan Rakyat Selangor, hanya Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang berhadapan dengan krisis. Demikian tegas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim semasa ditanya mengenai isu terbaru - Selcat - menghantui kerajaan negeri Selangor.

"Saya merasakan beliau (Dr. Hasan) dalam krisis, bukannya Pakatan. Pakatan tiada dalam krisis sehingga sekarang. Kita kukuh, kami mempunyai mandat yang kukuh.

"Saya melihat (Menteri Besar) Tan Sri Khalid Ibrahim menikmati populariti yang cukup tinggi... orang ramai gembira dengan apa yang beliau lakukan, orang ramai gembira dengan pembaharuan dilakukan beliau termasuk pembaharuan kepada Dewan Undangan Negeri.

"Jadi, jika ada sesiapa yang tidak boleh duduk bersemuka dengan Tan Sri Khalid, itu adalah krisis mereka, bukan krisis Tan Sri (Khalid).

"Adalah tidak adil untuk mengatakan krisis Tan Sri," kata Teng ketika diminta mengulas isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Teng mengulas kenyataan Hasan yang diberikan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri/Menteri Besar yang dihadiri kedua-dua mereka.

Teng yang mempengerusikan Selcat, dianggotai tujuh anggota termasuk dua wakil Barisan Nasional (BN), mengulas isu Selcat yang dikritik apabila pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa tersebut.

Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi, selain menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya sebagai penjawat awam sejak 30 tahun lalu.

Katanya, siasatan diketuai Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Selcat akan mengadakan pertemuan susulan selama lima hari bermula 21 Oktober ini.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

KOMEN HASAN ALI

Kira-kira sejam sebelum ulasan Teng itu, Hasan yang ditemui wartawan mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri memberitahu, daripada hanya dianggotai oleh ahli-ahli politik memberitahu, keanggotaan Selcat boleh terdiri daripada bekas hakim, pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat terkemuka.

Hasan berkata: "Kami semua menyokong penubuhan Selcat. Tetapi yang saya agak, agak sedikit kecewa ialah dengan cara pengendalian Selcat itu."

"Anda tahu beberapa Pegawai Daerah sama ada yang dipanggil untuk disoal siasat atau diambil keterangan dan sebagainya, tetapi sebagaimana dilaporkan dalam pertemuan kita dengan Yang Dipertua-Yang Dipertua dan termasuk seluruh kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ini, mereka melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

"Mereka merasakan mereka diaibkan, mereka merasakan imej mereka terjejas, mereka merasakan mereka tidak dilayan seperti pegawai kanan kerajaan, sebaliknya dilayan seperti budak sekolah dan dengan asakan soalan-soalan... sebab itu mereka merasakan tiada ruang untuk memberikan jawapan-jawapan yang adil dan ada pegawai-pegawai daerah sendiri tidak tahu bentuk jawapan yang dikehendaki oleh Selcat," kata Hasan lagi.

Hasan menambah, beliau sangat bersimpati dengan pegawai-pegawai berkenaan.

"Saya juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan, pegawai kanan kerajaan satu masa dahulu... jadi saya tahu perasaan mereka, saya tahu hati mereka, saya tahu fikiran mereka, dan saya tahu cara mereka beroperasi.

"Oleh itu, secara semula jadi saya bersimpati dengan mereka, kemungkinan... khususnya dalam isu yang membabitkan Selcat ini," kata beliau yang mengharapkan sesi pendengaran Selcat bulan depan ditangguhkan sehingga pengubahsuaian yang disarankan ini dilakukan.

TENG HAIRAN PENDIRIAN HASAN

"Saya agak hairan dengan Datuk Hasan yang jahil dengan amalan berparlimen kerana ini adalah jawatankuasa hak dan kebebasan dibentuk oleh Dewan Undangan Negeri.

"Tiada amalan sedemikian untuk tempoh selama 300 tahun yang lalu di mana jawatankuasa hak dan kebebasan dianggotai oleh bekas hakim dan anggota bukan Dewan... jadi, saya tidak tahu sama ada beliau jahil atau mahu mewujudkan sesuatu yang baru berhubung amalan berparlimen selama ini.

"Saya mengatakan bahawa berdasarkan amalan berparlimen di negara-negara Komanwel sejak 300 tahun lalu, saya tidak mendengar keanggotaan sedemikian, jawatankuasa hak dan kebebasan terdiri daripada mereka yang bukan anggota Dewan," kata Teng sambil menjelaskan, aturan mesyuarat DUN juga menetapkan keanggotaan perlu datang daripada semua parti.

"Jadi kita perlu mengambil kira pengiktirafan itu," kata Teng lagi.

"Parlimen adalah badan politik paling tinggi. Jadi, bagaimana anda boleh mengambil keluar unsur politik? Kita berada di sini juga menerusi politik.

"Jika sesiapa mahu membuat penghakiman, mereka harus menyertai bidang kehakiman, jadi hakim. Anda tidak boleh menyertai Parlimen, dengan anggota perundangan menjadi hakim," katanya.

Teng, pemimpin DAP, juga mempersoalkan kapasiti Hasan bercakap mengenai isu Selcat buat masa sekarang.

Hasan menjadi tumpuan dalam isu pengharaman jualan minuman keras di kedai serbaneka 24 jam di kawasan Shah Alam, Julai lalu.

"Ini bukan merupakan isu Pakatan. Beliau ada kapasiti, saya tidak tahu apa kapasiti yang beliau bercakap.

"Apabila beliau bercakap mengenai pengharaman minuman keras, beliau bercakap sebagai pemimpin PAS. Bila bercakap sebagai pemimpin Pakatan, beliau bercakap mahu menukar setiausaha kerajaan negeri, penasihat perundangan, mahu tukar Pegawai Daerah dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan.

"Dan, sekarang mahu mengubah Selcat. Saya tidak tahu apa kapasiti yang beliau mahu bercakap. Itu anda kena tanya beliau sendiri," kata Teng sambil menambah, perjalanan Selcat telah disambut baik oleh orang ramai.

"Orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap Dewan Undangan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Selcat, dan kita perlu memenuhi harapan itu," katanya.

Katanya, jika ada pihak yang mahu mengubahnya, "saya fikir sudah tiba masa bagi mereka mengkaji semula kedudukan mereka."

"Selcat adalah sesuatu yang baru di negara ini, tetapi bukan sesuatu yang baru jika diambil kira amalan berparlimen negara-negara Komanwel.

"Kita perlu bergerak ke hadapan. Dan, jika perlu ada perubahan di sana sini, kita boleh duduk dan berbincang.

"Tapi jika mahu dibubarkan sama sekali, saya rasa tidak boleh," katanya.

Katanya: "Tidak timbul soal pengubahsuaian. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan pengubahsuaian oleh Hasan Ali. Saya tidak melihat apa-apa masalah sekarang."

KOMEN MB KHALID

Mengulas isu yang sama, Khalid pula berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan untuk meneliti kaedah terbaik agar sistem komunikasi diuruskan dengan baik supaya tiada mana-mana pihak merasakan terguris dalam keadaan mahu bertindak secara terbuka dan telus.

Kata Khalid, beliau akan mengaturkan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut dalam waktu terdekat.

"Jika itu keadaannya saya perlu mengaturkan mesyuarat dengan Speaker dan anggota Selcat dengan pegawai-pegawai daerah, dan dengan Exco agar kita boleh mencari jalan dan cara bagaimana boleh menyelesaikan perselisihan faham dan niat kita," katanya.

Mengenai syor Hasan supaya sistem Selcat dikaji semula, Menteri Besar berkata, ia bukan dalam ruang lingkup prosedur DUN.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan