Dr Mahathir gembira kerana majlis rumah terbuka kembali ke Seri Perdana

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berasa gembira kerana majlis rumah terbuka telah kembali ke kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, selepas kali terakhir ia diadakan di situ lima tahun yang lepas.

Negarawan itu yang berbaju Melayu merah jambu turut serta dalam majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan kabinet di Seri Perdana bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah.

Beliau tiba pada lebih kurang pukul 2.45 petang dan meluangkan lebih kurang 30 minit di majlis itu.

"Saya senang hati yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil keputusan untuk menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya di sini. Tiada majlis seperti ini di sini sejak lima tahun yang lepas.

"Orang ramai mahu datang ke sini (Seri Perdana) kerana ini antara tempat yang mereka mahu lihat. Tempat ini milik rakyat," kata beliau semasa ditemui pemberita di majlis rumah terbuka itu.

Sejak lima tahun yang lepas, di bawah kepimpinan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, majlis rumah terbuka Hari Raya diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Bercakap mengenai hal lain, Dr Mahathir berkata beliau telah bertemu dengan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu di Istana Negara pada pagi ini semasa jamuan Hari Raya yang dianjurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Beliau berjabat tangan dengan saya. Tidak, beliau tidak memohon maaf...Saya rasa ia tidak perlu," kata Dr Mahathir sambil tersenyum apabila ditanya sama ada Samy Vellu ada memohon maaf kepadanya.

Minggu lepas Dr Mahathir meminta Samy Vellu untuk berundur daripada jawatan ketua MIC yang telah disandangnya sejak 1981 kerana menurutnya pemimpin tertinggi MIC itu kini merupakan liabiliti kepada Barisan Nasional.

Bagaimanapun, di perhimpunan agung MIC pada minggu lepas, seorang perwakilan mengusulkan yang gambar Dr Mahathir dikalung dengan selipar kerana kenyataan Dr Mahathir itu.

Usul itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak dan anggota perwakilan itu telah digantung daripada parti dengan Samy Vellu sendiri mengumumkan yang beliau akan memohon maaf kepada Dr Mahathir kerana usul perwakilan itu. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan