Mengapa Pakatan pertikai undi pos sekarang, soal SPR

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Usah mempertikaikan kaedah penggunaan undi pos! Ini nasihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kenyataan Pakatan Rakyat khususnya PAS semalam yang mempertikaikan amalan undi pos menjelang pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bulan depan.

Justeru, SPR juga menolak andaian bahawa penggunaan undi pos hanya memihak kepada Barisan Nasional (BN) semata-mata selama ini.

Mengulas desakan Pakatan Rakyat semalam dan PAS awal minggu ini yang mahu agar undi pos dihapuskan, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata:

"Saya nasihatkan PAS, tak usahlah risau. Proses undi pos berjalan lancar... bukan perkara baru."

Wan Ahmad juga mempersoalkan alasan yang diketengahkan Pakatan termasuk PAS apabila mempertikaikan penggunaan undi pos menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Jelas beliau, mekanisme pengundian pos telah ditambahbaiki ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.

"Semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu, buat pertama kali SPR telah membenarkan calon dan ejen masing-masing berada di tempat pengagihan kertas undi dan pusat pengundian menerusi pos.

"Proses pengundian pos ketika itu juga disambut dan dipuji oleh calon PAS sendiri. Mengapa sekarang mempertikaikan kaedah undi pos?" kata Wan Ahmad.

Dengan mengambil kira keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Telok Kemang pada 2000, Wan Ahmad juga menolak tanggapan bahawa pengundian pos hanya menguntungkan calon BN.

Pada pilihan raya kecil itu, BN yang diwakili oleh S. Sothinathan memperoleh kira-kira 2,500 undi berbanding calon Keadilan, Roslan Kassim yang menerima kira-kira 2,000 undi.

Sothinathan memenangi pilihan raya kecil itu.

Bagan Pinang merupakan salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Telok Kemang.

"Itu satu bukti bahawa undi pos dijalankan dengan telus dan tidak memihak kepada satu-satu parti sahaja... ia hasil ketelusan ketika itu dan kini lebih telus dengan adanya calon dan ejen calon (dibenarkan) di tempat mengundi.

"Malah, berdasarkan keputusan pilihan raya di tempat-tempat lain, undi pos tidak semestinya seratus peratus pergi kepada calon BN kerana terdapat juga undi pos yang diterima calon lawan," katanya.

"Saya rasa orang membantah ini tidak faham (kaedah pengundian pos). Bila tidak faham, maka mereka percaya pada perkara-perkara yang mengarut.

"Justeru, kami bersedia untuk memberikan taklimat kalau mereka inginkan penjelasan, kami di SPR bersedia untuk memberikan penjelasan... tiada benda yang perlu ditakutkan, tidak semua undi pos pergi kepada BN," katanya lagi.

Semalam Pergerakan Pemuda Pakatan - PAS, DAP dan Angkatan Muda Keadilan - menuntut supaya SPR mengambil tindakan segera bagi memperbaiki beberapa aspek penting yang melibatkan pengundi pos dan juga mekanisme pengundian.

Tiga tindakan disyorkan ialah memansuhkan pengunaan Borang 2 Pengundi Pos, penetapan tempat mengundi bagi pengundi pos dan akses dan kempen kepada pengundi pos.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada sejumlah 13,664 orang yang layak mengundi, seramai 4,604 merupakan pengundi pos.

Oleh itu, kata Pergerakan Pemuda Pakatan, berdasarkan jumlah itu, adalah jelas bilangan pengundi pos yang cukup besar sudah tentu akan menjadi undi penentu semasa pilihan raya kecil kali ini.

Dalam pada awal minggu ini, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan SPR pada 28 September ini bagi membincangkan prosedur undi pos yang dilihat tidak telus dan boleh dimanipulasi.

Salahuddin berkata, PAS akan mendesak SPR mengkaji semula sistem undi pos.

Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diadakan 3 Oktober manakala tarikh pengundian, jika ada pertandingan, adalah 11 Oktober.

Mengenai Borang 2 Undi Pos, Wan Ahmad berkata, ia tidak boleh dimansuhkan penggunaannya selagi undang-undang berkaitan tidak dipinda.

Katanya, Borang 2 digunakan sebagai dokumen penyaksian kertas undi telah diserahkan kepada pengundi pos oleh pegawai pengurusan, yang dilantik oleh SPR daripada kalangan anggota tentera.

Borang itu perlu dikepilkan bersama kertas undi yang dipulangkan.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan