Kerajaan akan bantu bawa pulang jenazah Noordin - Hishammuddin

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membantu keluarga Noordin Mohammad Top dalam usaha membawa pulang jenazahnya ke negara ini untuk dikebumikan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keluarga Allahyarham sudah dimaklumkan mengenai berita itu tengah hari dan proses ujian DNA sedang dijalankan bagi mengesahkan jenazah itu adalah Noordin secara mutlak.

"Kita akan bersama-sama keluarganya (Noordin) menguruskan jenazahnya dan akan berbincang untuk memilih wakil keluarga bagi menerima dan menguruskan jenazah di sana (Indonesia).

"Jika perlu wakil keluarga akan dibawa ke Indonesia untuk proses itu (membawa pulang jenazah)," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan Ops Sikap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Plaza Tol Jalan Duta di sini Khamis.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Indonesia Jen Bambang Hendarso Danuri yang mengesahkan pengebom berani mati paling dikehendaki di negara itu, Noordin mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah awal pagi.

Bambang berkata polis berani mengesahkan bahawa lelaki itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki itu.

Hishammuddin berkata pihaknya sudah menempatkan pegawai kementerian di Indonesia bagi memantau kes itu sejak dari awal lagi.

"Kerjasama Malaysia dan kerajaan Indonesia cukup rapat. Kita tidak akan berkompromi. Kita tetap tegas, buat apa yang patut kerana ia akan menjejaskan keharmonian serantau," katanya.

Menurut Hishammuddin perkara itu dilihat cukup serius dan kerajaan Malaysia tidak teragak-agak mengambil tindakan sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Katanya, beliau simpati dengan kematian Noordin dan ralat kerana tidak dapat membantu Allahyarham menjalani proses pemulihan.

Bagaimanapun Hishammuddin mengakui bahawa mereka yang bersalah tetap akan dihukum. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan