Kerabat Negeri Sembilan tuntut ganti rugi RM50 juta

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerabat diraja Johor menegaskan bahawa dakwaan serangan ditimbulkan secara terbuka semalam kerana mereka enggan menerima tuntutan ganti rugi RM50 juta dan permohonan maaf tanpa syarat daripada kerabat diraja Negeri Sembilan.

Sumber istana Johor memberitahu, dakwaan itu tidak berasas dan jumlah yang dituntut "terlalu mahal dan tidak masuk akal", sambil menambah pihak istana Johor tidak akan "tertipu".

"RM50 juta adalah terlalu berlebihan untuk hidung yang patah. Periksa rekod mahkamah dan anda akan lihat yang kes melibatkan hidung patah atau yang berkaitan kecederaan hidung adalah antara RM3,500 dan RM27,000," demikian menurut sumber istana itu kepada The Star.

Insiden itu didakwa berlaku di sebuah kelab yang dikenali sebagai Heritage Mansion di mana seseorang daripada kerabat Negeri Sembilan mendakwa telah bertindak biadab dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Sultan Johor dan Raja Muda Johor.

Sumber itu mengatakan Raja Muda Johor pada awalnya telah menempah tempat di Heritage Mansion untuk sebuah majlis pada malam itu, sementara kumpulan daripada kerabat Negeri Sembilan pergi ke tempat tersebut secara berasingan.

Sumber itu menambah, perbalahan yang tercetus antara dua kumpulan itu turut melibatkan pengawal-pengawal peribadi.

Sejurus selepas itu, ahli-ahli kerabat Negeri Sembilan berkata, mereka telah "diserbu" di hotel Crown Plaza di mana satu lagi perbalahan berlaku melibatkan kumpulan yang terdiri daripada kerabat Johor.

Raja Muda Johor tidak terlibat dalam perbalahan itu, lebih-lebih lagi baginda adalah pegawai tentera yang dilatih berdisiplin oleh tentera India.

Sumber itu turut mempersoalkan mengapa kerabat Negeri Sembilan atau Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar yang berada di hotel tersebut malam itu tidak memfailkan saman terhadap keluarga diraja Johor sejurus selepas insiden itu.

"Mereka sepatutnya memfailkan saman terhadap keluarga diraja Johor atau Raja Muda Johor jika mereka mendakwa mereka adalah benar.

"Mereka tidak boleh mengatakan yang pihak berkuasa tidak melakukan apa-apa kerana polis mengambil keterangan daripada setiap orang pada malam itu," tambahnya.

Sumber itu mengatakan, semua dakwaan itu adalah satu pembohongan sambil menambah istana Johor tidak akan mempertimbangkan untuk memberi 50 sen sekalipun.

Mereka berkata, dengan bersetuju untuk menyelesaikannya secara wang ringgit akan menunjukkan seolah-olah mereka bersalah.

Sumber itu berkata, istana Johor tidak memberi sebarang komen berhubung insiden itu kerana ingin memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu secara terperinci, selain memastikan keadilan dapat dilaksanakan tanpa sebarang campur tangan.

"Dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadap istana Johor secara keseluruhannya berat sebelah dan tidak memberi gambaran sebenar atau apa sebenarnya yang berlaku pada malam itu," kata sumber itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan