Jenazah Noordin akan hanya dibawa pulang minggu depan

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Jenazah pengganas nombor satu Asia, Noordin Mohammad Top dijangka akan hanya dibawa pulang ke negara ini pada minggu depan untuk dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Pontian.

Menurut sumber, Indonesia memerlukan di antara empat hingga lima hari lagi untuk melakukan pemeriksaan terhadap jenazah Noordin sebelum menyerahkannya kepada Malaysia dan anggota keluarga allahyarham untuk dibawa pulang.

"Dua orang anggota keluarga Noordin, berkemungkinan abangnya yang dikenali sebagai 'Yahya' dan adik beliau 'Isa' akan ke Jakarta pada minggu depan bersama-sama pegawai Polis Diraja Malaysia untuk mengenalpasti serta menuntut jenazah allahyarham.

"Isteri Noordin yang tinggal di Kampung Sungai Tiram, Johor Baharu tidak akan turut serta ke Jakarta untuk menuntut jenazah suaminya," kata sumber terbabit kepada Bernama semasa ditemu bual di sini pada hari Jumaat.

Tinjauan Bernama terhadap rumah keluarga Noordin yang terletak di Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian mendapati rumah satu tingkat terbabit tidak mempunyai penghuni.

Noordin, 41, yang mengetuai kumpulan serpihan Jemaah Islamiyah (JI) yang lebih radikal terbunuh semalam selepas tempat persembunyiannya di Solo, Jawa Tengah diserbu oleh pasukan elit anti-keganasan republik terbabit, Densus 88.

Kematian Noordin semalam, menamatkan pemburuan selama enam tahun oleh pihak berkuasa Indonesia terhadap individu yang dipercayai bertanggungjawab melaksanakan siri serangan bom yang mengakibatkan puluhan mangsa terbunuh di republik tersebut.

Pengganas nombor satu Asia itu didakwa bertanggungjawab merancang serangan bom terhadap Hotel Ritz Charlton dan Hotel J.W Marriot, Jakarta pada 17 Julai lepas yang menyebabkan sembilan termasuk dua pengebom berani mati terkorban.

Menurut sumber itu lagi, tidak ada keperluan untuk anggota keluarga Noordin dan pegawai PDRM pergi ke Jakarta ketika ini, kerana proses pemeriksaan pihak berkuasa Indonesia terhadap jenazah allahyarham belum lagi selesai.

Bagaimanapun katanya, proses mengenalpasti jenazah Noordin menerusi proses DNA yang mengambil masa sekurang-kurangnya 30 jam dijangka akan selesai pada malam ini atau esok dan keputusannya akan diumumkan.

Pihak Indonesia sudah pun mengesahkan jenazah itu sebagai milik Noordin berdasarkan kepada kesan-kesan cap jari dan kesan fizikal yang lain.

Sementara itu sumber terbabit itu turut menafikan laporan media tempatan bahawa kematian pengganas yang amat dikehendaki itu berpunca daripada tindakannya meletupkan diri bagi mengelak daripada ditangkap hidup-hidup oleh pihak berkuasa Indonesia.

"Noordin mati akibat ditembak di beberapa bahagian tubuhnya termasuk di kaki, tangan dan kepala. Beliau mengalami kecederaan yang teruk di bahagian belakang kepalanya, kemungkinan akibat ditembak," kata beliau.

Walaupun begitu menurutnya, bahagian muka jenazah berada di dalam keadaan yang baik dan ini memudahkan lagi proses pengecamannya. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan