'Rasul Melayu' tidak puasa semasa ditangkap - Pengarah JAIS

Diterbitkan: Khamis, 17 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KETUA ajaran sesat
KETUA ajaran sesat "Rasul Melayu" Abdul Kahar Ahmad, 59, (kanan) diiringi pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam memerintahkan supaya dia ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang bagi lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985. Beliau yang sebelum ini beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan, ditahan pasukan penguatkuasa JAIS pada 9.45 pagi semalam di Sungai Long, Kajang.--fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad sedang makan sambil menonton televisyen ketika ditangkap oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor pagi semalam.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika mendedahkan demikian juga berkata, Abdul Kahar cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di sebuah rumah dekat Sungai Long, Kajang.

"Semasa kita nak tangkap, dia tengah makan, tengok televisyen, bila kita nak tahan dia cuba nak lari, tapi kita berjaya kepung... Rasul Melayu pun tak puasa," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Abdul Kahar, 59, berjaya ditangkap setelah usaha memburunya dilakukan sejak Isnin lalu berdasarkan maklumat orang awam.

"Kita kesan dia di Sungai Long, setelah beliau berpindah ke sana, kita dapat maklumat dari orang awam mengesahkan yang dia telah berpindah ke Sungai Long.

"Jadi kita buat intipan beberapa hari untuk sahkan dia memang ada di situ dan kita buat serbuan pagi tadi," katanya.

Menurut beliau, ketika serbuan dibuat, anak lelaki Abdul Kahar yang dikenali sebagai Zulhelmi serta orang gaji mereka turut berada dalam rumah tersebut.

Abdul Kahar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini tengah hari tadi dan diperintahkan supaya ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 24 September ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.

Dalam sidang media yang sama, Mohammed Khusrin juga memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat untuk mengambil tindakan terhadap anak lelaki Abdul Kahar yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat melalui internet.

"Kita akan ambil tindakan terhadap Zul (Zulhelmi) kerana sekarang ini risalah-risalah mengenai ajaran sesat mereka disebarkan melalui internet.

"Mereka sebarkan melalui internet...ada laman blog sendiri, kita tunggu masa, bila kita dah cukup bukti kita akan ambil tindakan," katanya.

BERITA TERDAHULU

'Rasul Melayu' ditahan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mengeluarkan perintah tahanan terhadap pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, sehingga dibicarakan pada 7 Oktober depan.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad memutuskan perkara tersebut selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Bagaimanapun perintah tahanan yang dikeluarkan hari ini hanya sah sehingga tempoh lapan hari.

Oleh itu hakim menetapkan pada 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes berkenaan untuk pihak pendakwaan mengemukakan permohonan melanjutkan perintah tahanan.

Abdul Kahar ditahan Jabatan Agama Islam Selangor, (JAIS) di rumahnya dekat Sungai Long, Kajang kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.

Dia kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Dia dituduh buat pertama kali di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 2005 atas lima tuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Shukor berkata kehadiran Abdul Kahar di mahkamah bukan atas kerelaan atau kesedarannya tetapi kerana telah ditangkap oleh penguatkuasa JAIS. Oleh itu, mahkamah perlu mengeluarkan waran tahanan terhadapnya sehingga tarikh perbicaraan akan datang pada 7 Okt ini.

"Tertuduh banyak kali mengelak untuk hadir ke mahkamah. Walaupun tindakan menahan tertuduh boleh memudaratkan kesihatannya tetapi mahkamah perlu pandang satu lagi kemudaratan lebih besar (iaitu) kepada agama Islam jika tertuduh dijamin," katanya.

Abdul Kahar mendakwa kegagalannya hadir pada perbicaraan sebelum ini disebabkan dia menerima beberapa ugutan bunuh sehingga terpaksa melarikan diri.

Tertuduh berkata sehingga kini dia juga masih gagal mendapatkan khidmat peguam dan memohon mahkamah memberi peluang kepadanya untuk mencari peguam bagi mewakilinya.

"Saya merayu agar mahkamah membenarkan saya dijamin bagi membolehkan saya menyambut hari raya bersama keluarga. Saya bukan nak mengelak tetapi takut dengan ugutan bunuh dan sekiranya saya ditahan saya tidak akan dapat menjalankan tanggungjawab saya kepada keluarga.

"Saya berjanji jika saya dijamin saya tidak akan melakukan apa-apa tindakan termasuk sebar risalah dan juga akan menghadiri perbicaraan," katanya.

Peguam pemerhati bagi Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar ketika merujuk dakwaan ugutan bunuh yang diterima tertuduh berkata, sekiranya tertuduh ditahan dalam penjara, keselamatannya akan terjamin kerana akan dikawal sepanjang masa berbanding jika dia berada di luar tahanan.

Abdul Kahar dituduh telah menyatakan, mendakwa dan mengisytiharkan diri sebagai "Rasul orang Melayu di zaman ini" sedangkan penyataan dan dakwaan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Dia juga didakwa menjelaskan doktrin palsu yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam, antaranya menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar dan ibadah haji pula sia-sia dan merugikan.

Bagi tuduhan ketiga, Abdul Kahar didakwa mengingkari dan melanggar arahan Mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar Ajaran Kahar Ahmad sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada Islam.

Pertuduhan keempat menyebut bahawa tertuduh didakwa telah mempersendakan amalan Islam dengan menyatakan: "Ibadah haji ialah perkara yang diada-adakan oleh kerajaan Arab Saudi dengan tujuan mengaut keuntungan" dan "Buat apa sembahyang tunggang-tonggek, membebel sendirian dan ia umpama orang mabuk dan berjudi".

Abdul Kahar juga dituduh menyebarkan pendapat dan ajaran, antaranya rasul tidak benar, yang bertentangan dengan hukum syarak dan fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.

Tertuduh, yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman bernombor 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan