Polis Indonesia hubungi kedutaan Malaysia berhubung urusan jenazah Noordin

Diterbitkan: Khamis, 17 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Polis Indonesia akan menyelaraskan dengan Kedutaan Besar Malaysia di sini untuk urusan jenazah Noordin Mohammad Top, pengganas paling dikehendaki yang berasal dari Malaysia yang mati ditembak dalam serbuan polis di Solo, Jawa Tengah.

Ketua Polis Indonesia Jen Bambang Hendarso Danuri berkata pihaknya juga sudah menghubungi Kementerian Luar Indonesia dan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

"Kita sudah menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di sini, Kementerian Luar Negeri Indonesia dan Duta Besar Indonesia di Kuala Lumpur Da'I Bachtiar," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Sidang media itu diadakan di Markas Besar Polis Indonesia di sini untuk mengumumkan kejayaan polis menembak mati Noordin dan tiga rakan pengganasnya serta seorang lagi yang cedera ditembak, selepas Bambang mengadakan pertemuan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Jenazah Noordin kini dilaporkan berada di Rumah Sakit Polis dan polis sedang menunggu keputusan DNA yang dijangka mengambil masa selama 30 jam walaupun berdasarkan persamaan cap jari dan 14 ciri lain, polis sudah yakin yang ditembak mati dalam operasi selama lima jam yang berakhir kira-kira pukul 6 pagi ini, adalah Noordin.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Amran Mohd Zain ketika dihubungi Bernama berkata kedutaan akan memberi kerjasama penuh membantu persiapan perlu bagi menguruskan jenazah Noordin setelah mendapat pengesahan daripada Indonesia.

"Kita akan berkoordinasi dengan pihak berkuasa Indonesia dan membantu mengikut prosedur yang sedia ada," katanya.

Amran berkata kedutaan juga akan menghubungi keluarga Noordin di Malaysia serta anggota keluarganya yang lain yang dilaporkan berada di sini.

Tiga lagi pengganas yang ditembak mati ialah Bagus Budi Pranoto alias Urwah, Susilo alias Adib yang menyediakan tempat persembunyian Noordin dan Ario Sudarso alias Aji, yang dikatakan pakar pembuat bom, murid kepada Dr Azahari Husin, seorang lagi pengganas berasal dari Malaysia yang ditembak mati beberapa tahun lepas.

Bambang berkata wanita hamil yang cedera parah dalam serbuan di Solo itu ialah Munawaroh, isteri kepada Susilo setelah dia enggan menyerah diri ketika polis memberi amaran, yang sebaliknya dibalas dengan tembakan oleh para pengganas itu.

Katanya polis Indonesia telah bekerja keras selama sembilan tahun mengesan dan memburu jejak Noordin dan menurutnya polis turut menjumpai 200 kilogram bahan letupan yang sedia untuk digunakan di dalam rumah yang diserang hendap itu selain senjata M-16 yang lengkap berisi peluru, selain komputer riba dan pelbagai dokumen. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan