40,000 dos vaksin H1N1 tiba akhir bulan depan - Liow

Diterbitkan: Khamis, 17 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Sebanyak 40,000 daripada 400,000 dos vaksin Influenza A(H1N1) yang ditempah Kementerian Kesihatan dijangka tiba di negara ini akhir bulan depan, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata vaksin tersebut akan diedarkan secara sama rata, namun disebabkan dos yang terhad kementerian akan mendahulukan golongan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat selain golongan berisiko tinggi seperti ibu mengandung serta kanak-kanak.

Baki 360,000 dos vaksin pula akan tiba awal Januari tahun depan, katanya.

Liow berkata kesemua vaksin itu yang bernilai RM14 juta diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, GlaxoSmithKline (GSK) yang berpusat di United Kingdom.

Bagaimanapun, katanya kementerian yang sedang dalam proses tempahan vaksin peringkat kedua sedang meneliti beberapa inisiatif dan pengeluar lain bagi mendapatkan harga dan kualiti terbaik.

"Kami perlu membuat tempahan awal dan kami sedang mencari kualiti yang terbaik. Kami berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin sumber termasuk dari China dan Taiwan supaya jika berlaku kecemasan, kami dapat memperoleh lebih banyak vaksin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Komuniti Orang Asli Sungai Gapoi di sini, Rabu.

Liow juga berkata walaupun vaksin itu tidak melalui ujian klinikal yang ketat seperti yang lazimnya diamalkan di negara ini, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi 'lampu hijau' kepada vaksin berkenaan.

"Kami serahkan kepada individu untuk membuat keputusan sama ada untuk mengambil vaksin itu atau sebaliknya. Bagi kementerian, kami menganggapkannya selamat," katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata kerajaan telah mengarahkan pembinaan fasiliti penghasilan vaksin dalam masa terdekat.

"Kami sedang dalam proses membina sebuah fasiliti penghasilan vaksin. Ninebio Sdn Bhd telah diarahkan supaya menubuhkan fasiliti berkenaan," katanya.

Selain itu, selaras dengan amaran WHO mengenai kemungkinan gelombang kedua H1N1, Liow berkata Kabinet telah meluluskan RM158 juta untuk menambah katil dan kelengkapan di Unit Rawatan Rapi bagi menghadapi kemungkinan itu.

Katanya kementerian sedang membuat perancangan teliti dalam menghadapi kemungkinan amaran yang dikeluarkan WHO itu terutamanya menjelang musim tengkujuh akhir tahun ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan