Hakim Syariah tetap dengan pendirian laksana hukuman sebat

Diterbitkan: Rabu, 16 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Walaupun keputusan mengenakan hukuman sebat ke atas umat Islam yang meminum arak dikritik oleh sesetengah pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Md Yunos tidak akan berpatah semula daripada keputusannya itu.

"Saya menjalankan tugas sebagai pegawai mahkamah dan kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi The Star semalam.

Ketika diminta mengulas berhubung kontroversi keputusannya itu, termasuk hukuman rotan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, Abdul Rahman berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang pandangan kerana ia bukan satu tindakan yang beretika.

Ditanya sama ada beliau mendapat kesan daripada publisiti meluas yang diterima berhubung keputusannya itu, Abdul Rahman berkata, beliau tidak membaca komen-komen tersebut.

Abdul Rahman, 53, menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan sejak 1996 apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pahang dan Jabatan Perundangan Syariah Pahang dipisahkan pada hujung 1995. Sebelum itu, beliau adalah Ketua Kadi.

Abdul Rahman dari Kampung Kuala Bera, Bera, Pahang telah berkahwin dan mempunyai lima anak. Beliau adalah lulusan Universiti al-Azhar dan mendapat ijazah Undang-undang Syariah Islam pada 1982 dan Diploma Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 1989.

Beliau telah membuat keputusan terhadap enam orang Islam yang meminum arak dari 2004 hingga tahun ini.

Kes pertama melibatkan adik-beradik, Mohamed Nizam Ibrahim dan Mohamed Nasha yang dijatuhkan hukuman enam sebatan rotan dan denda RM5,000 setiap seorang pada 14 Jun 2005 selepas meminum arak di sebuah restoran di Jalan Bukit Ubi di sini pada 19 Ogos 2004. Bagaimanapun, kedua-duanya telah mengemukakan rayuan dan kes itu masih tertangguh.

Kes seterusnya melibatkan tiga orang termasuk Kartika, 32. Dia dijatuhkan hukuman enam sebatan rotan dan denda RM5,000 kerana meminum arak di sebuah kelab malam di Cherating pada 11 Julai tahun lalu. Mahkamah memutuskan hukuman itu selepas Kartika mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut pada 20 Julai lalu.

Sementara itu, dua lagi adalah pelayan kelab malam yang bersama Kartika dan seorang lelaki yang ditahan semasa serbuan di kelab malam berkenaan.

Pelayan wanita dan lelaki itu didenda RM5,000 dan enam sebatan rotan selepas mereka mengaku bersalah. Mereka bagaimanapaun telah mengemukakan rayuan dan kes tersebut masih tertangguh.

Keputusan Abdul Rahman untuk melaksanakan hukuman sebat terhadap Kartika diperkatakan dengan meluas oleh rakyat tempatan dan antarabangsa. Pada 24 Ogos lalu, hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadhan.

Kes terbaru berlaku pada Isnin lalu apabila Abdul Rahman mengarahkan seorang pekerja Indonesia menjalani hukuman setahun penjara dan akan disebat sebanyak enam kali kerana meminum arak di Jalan Pasar pada pukul 10 pagi, 27 Ogos lalu.

Nazarudin Kamaruddin, 46, yang berstatus pemastautin tetap menjadi orang pertama di negeri itu yang dipenjarakan kerana meminum arak di khalayak ramai.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan