Lapan makmal antara cabang Pelan Transformasi Kerajaan (GTP)

Diterbitkan: Selasa, 15 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) telah masuk ke fasa kedua pelaksanaannya dan lapan makmal telah disenaraikan di mana tiga fokus utama akan diberikan dalam Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Unit PEMANDU ini, akan diketuai oleh Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PEMANDU.

Pelantikan Idris telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 27 Ogos lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, lapan makmal itu merangkumi enam aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan dua aspek tambahan yang dinamakan 1Malaysia dan Perpaduan serta pengurusan data.

Enam aspek yang lain ialah, pendidikan, masyarakat yang berpendapatan rendah, kemudahan asas di kawasan luar bandar, kemudahan awam di kawasan bandar, masalah jenayah serta rasuah.

Menurutnya, program transformasi kerajaan mempunyai dua tujuan utama iaitu menjadikan kerajaan lebih berkesan dan bertanggungjawaban serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu-padu, selamat dan adil dengan kualiliti hidup yang lebih tinggi untuk semua.

Katanya, lapan makmal itu akan dimulakan Oktober depan dengan melibatkan penyertaan pegawai-pegawai sektor awam yang dikenal pasti berada pada tahap dan kualiti yang terbaik.

"Mereka akan memberikan idea dan seterusnya menterjemahkan idea itu selain menghalusi setiap aspek, kelemahan dan masalah bagi memastikan ia tidak mempunyai sebarang cacat cela apabila dilaksanakan.

"Tidak bermakna kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mengukuhkan negara selama ini.

"Kerajaan telah banyak buat (pembaharuan) , tapi kali ini kita benar-benar fokus," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai PEMANDU di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata pelaksanaan setiap makmal itu nanti akan dikendalikan 20 orang pakar dalam berbagai bidang dengan menggunakan konsep percambahan idea, pengalaman dan pandangan setiap ahli.

"Dalam makmal ini, mereka bebas berhujah, berdebat malah bertengkar untuk setiap idea yang dilahirkan supaya di akhir setiap eksperimen, mereka akan berjaya menghasilkan penemuan yang radikal, praktikal dan inovatif.

"Selepas semua 'tugasan' di makmal ini berjaya disempurnakan, sebuah majlis 'Rumah Terbuka' akan diadakan dengan melibatkan penyertaan awam untuk meneliti, sekaligus memberikan pandangan terhadap keputusan yang telah dihasilkan," katanya.

Jelas beliau, 'Rumah Terbuka' itu nanti akan melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan awam, media bahkan orang ramai, selaras dengan pendirian Perdana Menteri yang mahu rakyat sendiri menilai pencapaian kerajaan dalam mentadbir negara.

"Kesemua ketua makmal ini akan hadir dalam sesi itu untuk menjawab sebarang bentuk soalan dan mendapat maklum balas dari mereka yang hadir," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Idris yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines berkata, lanjutan daripada penubuhan kesemua makmal itu ialah pembentangan 'Peta Transformasi Kerajaan 1Malaysia' yang akan memberikan pandangan secara komprehensif terhadap pencapaian kerajaan dan penyampaian mereka secara keseluruhan tanpa mengenepikan penyampaian keenamenam aspek NKRA.

"Peta ini dan sesi 'Rumah Terbuka' itu akan diadakan awal tahun depan, sebagai fasa ketiga GTP," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, PEMANDU sedang menjalankan proses penyenaraian ahli makmal dan ia akan diketahui sebelum 5 Oktober depan.

"Kami masih mengenal pasti anggota yang terlibat dan ia bukan tugas yang mudah kerana setiap ahli perlu cemerlang dalam lapangan masing-masing. Ia akan melibatkan pegawai-pegawai sektor awam di seluruh negara," katanya.

Pada 11 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengumumkan Bidang Keputusan Utama (KRA) dan KPI negara akan menjadi keutamaan kerajaan bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Najib mengumumkan perkara tersebut sempena tempoh 100 hari beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri yang keenam.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan