Media Malaysia mohon rakan di Indonesia bantu redakan kontroversi

Diterbitkan: Isnin, 14 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemimpin media Malaysia Isnin mengajak rakan wartawan di Indonesia supaya sama-sama meredakan ketegangan ekoran kontroversi tarian pendet sehingga menyebabkan sekumpulan rakyatnya bertindak mengancam keselamatan rakyat negara ini.

Sambil menghormati kebebasan media di republik itu, kumpulan pengarang kanan Malaysia memohon kewarasan rakan-rakan di Indonesia dalam membuat liputan serta melihat isu hubungan kedua-dua negara dalam perspektif yang lebih besar.

"Jangan biarkan kita hilang fokus dan tumpuan dengan isu-isu yang remeh-temeh kerana pendekatan begini tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat kedua-dua negara," kata Datuk Ahmad Talib, Pengerusi Jawatankuasa Penaja Ikatan setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWMI) cawangan Malaysia pada sidang akhbar di Seri Pentas, TV3 di sini.

Hadir sama ialah Penasihat Editorial Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, Ketua Pengarang Kumpulan Star Publications Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf Abdul Jalil Ali, Penolong Pengarah Seksyen Perhubungan Awam di Jabatan Perdana Menteri, Abdull Hadi Mohd Yusoff dan pengamal media Sabaruddin Ahmad Sabri.

Ahmad yang juga Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Media Prima berkata media Malaysia memandang dengan penuh prihatin liputan media Indonesia mengenai kontroversi tarian pendet, kononnya Malaysia mencuri kesenian negara itu sehingga sekumpulan rakyat Indonesia bertindak memburu rakyat Malaysia di negara itu.

Katanya, ISWMI berpendapat perkembangan itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana akan menjejaskan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Jakarta termasuk dalam bidang perniagaan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

ISWMI merupakan inisiatif yang digerakkan oleh golongan wartawan Malaysia untuk memulihkan hubungan Malaysia-Indonesia berikutan pelbagai isu yang timbul dari semasa ke semasa yang mengeruhkan hubungan dua hala seperti tuntutan bertindih Pulau Sipadan dan Ligitan, tuntutan Malaysia ke atas Ambalat, isu pekerja Indonesia di Malaysia, dakwaan penganiayaan terhadap pendatang Indonesia dan terbaru isu tarian pendet.

Ahmad berkata ISWMI cawangan Indonesia akan ditubuhkan tidak lama lagi sebelum program pertukaran wartawan dilaksanakan bagi mewujudkan hubungan erat melalui lawatan dan dialog.

Chamil pula berkata MPI menjemput sekumpulan wartawan muda Indonesia tahun lepas menyertai latihan di bawah program "International Fellowship Journalism" di negara ini bagi mengeratkan hubungan.

Menurutnya program itu memberi faedah jangka panjang ke arah membetulkan apa-apa persepsi negatif mengenai negara di kalangan wartawan.

Sementara itu, Pusat Strategik Malaysia-Indonesia (MISC) yang ditubuhkan di sini Isnin menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat secara mendalam punca sebenar tercetusnya isu '(sapu bersih)sweeping Malaysia'.

"Mungkin ada pihak yang cemburu dengan persahabatan yang terjalin antara dua negara ini...jadi satu pasukan khas perlu ditubuhkan kerana kita tidak mampu menghadapi isu yang sama setiap bulan.

Langkah segera perlu diambil supaya isu ini tidak berulang dan ikatan persahabatan kedua negara dapat dikukuhkan kembali," Mohamad Ezam Mohd Nor berkata kepada pemberita pada pelancaran MISC.

Mohamad Ezam yang merupakan pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara dan juga anggota Lembaga Pemegang Amanah MISC yang ditubuhkan bersama-sama Lembaga Persahabatan Malaysia Indonesia (Prima), Indonesia Strategic Centre (ISC) dan Centre of Indonesia Reform (CIR).

Timbalan Ketua Setiausaha Prima Chairul Anhar berkata rakyat Indonesia juga tidak menyokong dan benci dengan slogan 'Sweeping Malaysia' dan menganggap isu pembersihan rakyat Malaysia itu hanyalah perlakuan segelintir daripada jutaan rakyat Indonesia dan tidak akan berupaya menggoncang persabatan kedua-dua negara.

"Tidak ada undang-undang di Indonesia yang membolehkan rakyat Indonesia menghalau warga asing di Indonesia sesuka hati dan kami juga ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa kita adalah bersaudara, apapun persoalan kita percaya ianya boleh selesaikan bersama secara kekeluargaan," katanya.

Mohamad Ezam berkata tumpuan utama MISC yang bakal beroperasi secara rasmi selepas Aidilfitri ini di ibu pejabatnya di Jakarta adalah untuk membawa anjakan paradigma generasi muda daripada hanya berfikiran nasionalitik sahaja kepada satu sifat yang bersikap regional sebagai kelangsungan masa depan kedua negara.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata insiden "sweeping Malaysia" disebabkan beberapa isu-isu lama di antara Malaysia dan Indonesia seperti tenaga kerja Indonesia dan pembantu rumah.

Salahuddin hari ini bertemu timbalan duta Indonesia ke Malaysia Tatang Razak di Kedutaan Indonesa dan diberi jaminan kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertindak di luar batasan undang-undang di sana. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan